Bendung isu keselamatan siber di negara ini - Utusan Malaysia

Bendung isu keselamatan siber di negara ini

ANNUAR Musa (dua dari kiri) ketika sidang akhbar di Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/SYED AZLAN HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan memanggil empat agensi dibawahnya bagi membincangkan isu keselamatan siber secara holistik minggu depan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ahli lembaga pengarah empat entiti di bawah kementerian tersebut seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Cyber Security Malaysia (Cyber Security) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) akan dipanggil bagi membincangkan perkara tersebut.

“Kementerian melihat isu keselamatan siber termasuk penipuan dalam talian dan penggodaman adalah sesuatu yang serius dan memerlukan pendekatan lebih proaktif menangani perkara tersebut.

“Pelaku aktiviti penipuan seperti scam dan godam dilihat lebih pintar daripada biasa serta lebih ramai menjadi mangsa jenayah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai tindakan kementerian bagi menangani isu kehilangan wang simpanan pengguna di institusi kewangan kebelakangan ini.

Terdahulu, media melaporkan beberapa persatuan pengguna mendesak agar bank memulangkan semula wang pelanggan yang hilang didakwa akibat kecuaian institusi kewangan di negara ini.

Tambah Annuar, beliau ingin bertemu pengurusan agensi-agensi berkenaan bagi berkongsi dan menggesa pihak terlibat untuk mencari pendekatan luar kotak termasuk kerangka kerja perundangan.

“Apa-apa tindakan yang akan dilakukan perlu mengikut jalur perundangan dan walaupun kita mempunyai undang-undang sedia ada, namun, masih ada kelompongan yang diambil kesempatan untuk melakukan jenayah siber.

“Proses untuk ambil tindakan perundangan terlalu lama sedangkan dalam amalan keselamatan siber ada beberapa kaedah lain diguna pakai.

“Selain itu, kita juga akan membincangkan pendekatan lain termasuk mendapatkan gambaran amalan yang dipraktikkan di Thailand, Singapura dan Indonesia bagi membendung isu keselamatan siber di negara ini,” jelasnya.

Tambahnya, pertemuan itu juga akan membincangkan teknologi terkini yang mampu menghalang sebarang jenayah siber sebelum ia berlaku.

“Usaha membanteras jenayah siber bukan sahaja di bawah tanggungjawab kita, namun, memerlukan kerjasama pelbagai kementerian seperti penyiasatan yang dilakukan pihak polis serta Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) dibawah Jabatan Perdana Menteri. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN