PETALING JAYA: Seorang Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ahmad Fadhli Saari mendakwa terhadap banyak laporan mengejutkan bakal terdedah selepas pendedahan projek kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Tanpa memperincikan perkara itu, beliau merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, satu persatu akan menyusul tidak lama lagi.
“Ada lagi pendedahan-pendedahan mengejutkan selepas isu LCS, jangan bimbang, satu persatu akan menyusul.
“Pakai tali pinggang, seperti kata pepatah ‘ambil mana-mana yang sempat’,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, PAC mendedahkan laporan setebal 247 muka surat berhubung LCS dan antaranya terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan apabila pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.
Menurut laporan itu, pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pelaksanaan projek LCS.
“Pada asalnya, reka bentuk kapal jenis Sigma pilihan TLDM telah dipersetujui oleh Menteri Pertahanan. Keputusan tersebut telah berubah kepada reka bentuk kapal jenis Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2011.
“Memetik kenyataan Panglima Tentera Laut pada ketika itu, Laksamana Tan Sri Dr. Abdul Aziz Jaafar, keputusan tersebut adalah sesuatu yang tidak kena,” jelas laporan itu. –UTUSAN ONLINE