Bantu boleh, tapi jangan hentam kerajaan Kelantan - Mohd. Amar - Utusan Malaysia

Bantu boleh, tapi jangan hentam kerajaan Kelantan – Mohd. Amar

AHMAD Yakob (dua kanan) bersama masyarakat Orang Asli semasa Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, Kota Bharu, Kelantan hari ini. -UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk membuat kebajikan dengan membantu golongan yang memerlukan di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata,  usaha murni itu amat digalakkan kerana ia membawa banyak manfaat, malah, dapat membantu pihak kerajaan.

Bagaimanapun, beliau kesal dengan tindakan warganet yang menggunakan usaha murni pihak atau individu tertentu untuk mengkritik serta menghentam kerajaan dan pemimpin tanpa mengetahui latar belakang atau cerita sebenar.

“Sesiapa pun boleh bantu golongan memerlukan kerana Islam sendiri menggalakkan kita membantu orang-orang susah.

“Namun, janganlah sampai bantuan yang diberikan itu menyebabkan kita tidak nampak bantuan daripada pihak lain,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, setiap kampung mempunyai penghulu, imam dan kritikan sebegitu seolah-olah menampakkan pemimpin setempat tidak cakna dengan masalah rakyat.

Katanya, situasi tersebut boleh memberikan gambaran buruk dan boleh menimbulkan persepsi tidak baik.

“Oleh yang demikian, warganet yang rata-ratanya terdiri daripada generasi muda perlu lebih bijaksana dan mengkritik atau memberikan komen terutama dalam media sosial berkait dengan isu ini,” ujarnya.

Sebelum ini, tular badan sukarelawan yang turun padang menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan tanpa membuat siasatan sama ada penerima itu pernah dibantu atau sebaliknya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya