419 tangkapan dalam Op Tapis seluruh Pahang

419 tangkapan dalam Op Tapis seluruh Pahang

RAMLI Mohamed Yoosuf (depan) menunjukkan port penagihan dan pengedaran dadah yang telah diserbu dalam operasi Ops Tapis SeMalaysia siri kelima tahun ini dalam sidang akhbar di di Ibu pejabat Polis Kontinjen Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak 419 tangkapan terdiri daripada penagih dan tokan dadah termasuk ‘orang dikehendaki’ menerusi Op Tapis Khas SeMalaysia di 32 port pengedaran serta penagihan di seluruh negeri ini.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang, selama tiga hari berakhir 29 Julai lalu secara serentak di 11 buah daerah dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan Perundangan Trafik (JSPT). 

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah tangkapan direkodkan dalam Op Tapis Khas kali ini melibatkan 410 lelaki dan sembilan wanita berusia dalam lingkungan 15 tahun hingga 61 tahun.

“Hasil operasi itu polis menahan 32 individu disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah berbahaya, manakala enam orang yang diambil tindakan di bawah langkah-langkah pencegahan khas (LLPK) dan 17 orang dikehendaki. 

“Selain itu, seramai 34 penagih tegar atau penagih berulang diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara lima hingga tujuh tahun dengan tiga sebatan.

“Susulan itu, Polis Pahang meningkatkan pertuduhan di bawah seksyen tersebut dengan memperuntukkan hukuman lebih tinggi kepada penagih-penagih tegar ini dalam usaha membasmi masalah dadah di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Ramli berkata, bersama-sama tangkapan pihak polis turut merampas 43.12 gram dadah jenis syabu, 302.97 gram dadah jenis heroin, 68.3 gram pil yaba dan 0.78 gram dadah jenis erimin 5.

“Polis turut merampas 103.65 liter air ketum dalam operasi kali ini dengan 29 orang daripadanya ditahan dipercayai terbabit penyalahgunaan air ketum ini. 

“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga empat tahun atau denda sehingga RM4,000.

“Dalam serbuan itu, sebanyak RM2,561 wang tunai dirampas dan lapan buah kenderaan pelbagai jenama yang disita berjumlah RM60,000. Ini telah menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah yang berjumlah RM21,000 dan sitaan melalui operasi ini dianggarkan kira-kira RM83,561,” katanya.

Jelasnya, pihak polis mengenal pasti port penagihan antaranya Felda Bukit Goh, Felda Panching Timur dan Tanah Putih di Kuantan, Tanah Lapang Batu Kapur di Temerloh, Felda Mempaga di Bentong, Felda Tersang di Raub, Felda Chini di Pekan, Felda Sungai Rentang di Jerantut dan banyak lagi gugusan Felda yang terlibat.

“Selain menumpukan kepada port penagihan dadah, kita juga mengadakan sekatan jalan raya yang membabitkan segelintir pengguna jalan raya terutamanya pemandu pengangkutan awam yang menggunakan dadah sehingga menyebabkan kemalangan dan mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN