GEORGE TOWN: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang meminta peguam mengkaji keputusan Mahkamah Persekutuan bagi membolehkan kesemua mereka melaksanakan tugas sebagai ADUN yang dipilih secara sah.
Dalam kenyataan bersama, keempat-empat ADUN itu, Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab (Bertam), Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang) berkata, mereka mewakili rakyat di kawasan masing-masing dan akan terus melaksanakan tugas demi kepentingan serta keperluan terbaik pengundi dan bukan hanya atas tuntutan parti.
”Kami menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan tetapi kami tidak bersetuju dengannya.
CABAR
“Adalah penting untuk orang ramai mengetahui kami mencabar Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang kerana kami percaya seperti yang wujud pada hari ini, peruntukan ini terbuka kepada penyalahgunaan. Peruntukan ini digunakan secara salah terhadap kami,” kata mereka hari ini.
Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Pada 12 April lepas, Pesuruhjaya Kehakiman, Azizan Md Arshad membenarkan permohonan DUN Pulau Pinang dan Speaker, Datuk Law Choo Kiang untuk merujuk beberapa persoalan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membolehkan mahkamah itu mendengar serta memutuskan isu perlembagaan berkaitan enakmen antilompat negeri itu.
DUN Pulau Pinang dan Speaker mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan berpersatuan.
Kenyataan itu berkata, kesemua mereka tidak berpaling tadah atau menukar taat setia terhadap parti.
“Dua daripada kami telah dipilih dalam Bersatu dan kami kekal bersama Bersatu, manakala dua daripada kami telah dibuang daripada parti kami kerana membuat kenyataan yang dianggap mengkritik kepemimpinan parti,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow telah menyatakan kerajaan negeri Pulau Pinang berhasrat untuk memastikan Perlembagaan negeri selaras dengan cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
”Jika kerajaan negeri Pulau Pinang benar-benar tulus dalam semangat dwipartisan, mereka akan menarik balik usul untuk menyingkirkan kami sebagai ADUN.
”Adalah jelas di bawah pindaan yang dicadangkan, kami tidak akan kehilangan kelayakan,”katanya. – UTUSAN











