KUANTAN: Sebanyak 1,273 atau 62.3 peratus kes hilang pendengaran akibat kebisingan di tempat kerja dicatatkan berlaku bermula Januari hingga Mei lalu.
Ia sekali gus menjadikan kes itu sebagai penyakit pekerjaan utama dan paling tertinggi berlaku dalam negara.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Kementerian Sumber Manusia, Mohd. Anuar Embi berkata, kementerian itu memandang serius peningkatan kes penyakit tersebut yang dikatakan berpunca daripada pekerjaan terutama membabitkan sektor industri.
Menurutnya, secara keseluruhannya, sebanyak 4,928 kes penyakit pekerjaan dilaporkan kepada JKKP, namun, hanya 2,042 yang disahkan sebagai penyakit pekerjaan.
“Penyakit pekerjaan lain yang turut disenaraikan termasuk 35 kes atau 1.7 peratus disebabkan masalah tulang-otot pekerjaan dan 29 kes atau 1.4 peratus berkaitan pendedahan bahan kimia berbahaya.
“Data-data ini kita dapat lihat bahawa hilang pendengaran merupakan antara penyakit pekerjaan yang utama berlaku dalam negara ini.
“Dengan itu, penyakit pekerjaan ini mampu memberi implikasi negatif terutama dalam aspek ekonomi dan sosial yang perlu ditanggung oleh pekerja, keluarga pesakit, majikan dan negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Guideline on Management of Occupational Noise-Related Hearing Disorders di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan di sini hari ini.
Kementerian itu melalui Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), JKKP dan UIAM mengadakan seminar berkaitan garis panduan untuk mengatasi dan pencegahan penyakit pendengaran selama dua hari, berakhir 11 Ogos di dewan utama UIAM Kampus Kuantan, dekat Indera Mahkota.
Mengulas lanjut, Mohd. Anuar berkata, susulan peningkatan kes tersebut yang dilihat berlaku secara mendadak, usaha sama pelbagai pihak khusus pakar dalam bidang pendengaran diadakan.
Jelasnya, penglibatan seramai 12 orang pakar teknikal dalam bidang tersebut dipanggil untuk memberikan pendedahan melalui beberapa garis panduan yang lebih holistik untuk diguna pakai dalam sektor industri masing-masing.
“Garis panduan yang dicadangkan tersebut mampu membantu pihak industri dan pengamal perubatan terutamanya Doktor Kesihatan Pekerjaan dalam pengurusan kes-kes penyakit kehilangan pendengaran akibat kebisingan di industri,” katanya.
Sementara itu, dalam seminar tersebut, seramai 600 peserta mengambil bahagian mengikuti garis panduan yang ditetapkan melalui cara bersemuka (seminar) atau secara dalam talian. –UTUSAN ONLINE