Wang simpanan RM16,000 untuk beli tanah dihanyutkan kepala air - Utusan Malaysia

Wang simpanan RM16,000 untuk beli tanah dihanyutkan kepala air

PEMANDANGAN dari udara yang memaparkan tebing Sungai Kupang kini kosong selepas deretan rumah di kawasan itu lenyap akibat tragedi kepala air dan banjir lumpur di Kampung Iboi, Kupang di sini. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Tragedi kepala air dan banjir lumpur di Sungai Kupang, minggu lalu bukan sahaja melenyapkan beberapa rumah milik penduduk yang tinggal di Kampung Iboi, di sini.

Namun, bagi salah seorang mangsa, kejadian itu turut menghanyutkan bersama wang tunai berjumlah RM16,000 yang dikumpul untuk membeli sebidang tanah.

Menurut Mohd. Zaidi Saad, 38, dia memang sudah bercadang untuk membina rumah baharu di lokasi lain sebelum ini, namun, tragedi tersebut membantutkan usahanya buat masa ini.

“Saya amat memerlukan rumah, sebelum ini, saya sudah kumpul sebanyak RM16,000 untuk beli tanah dan bercadang bina rumah baharu di sana.

“Sebelum kejadian itu, kawan ingin bawa lihat tanah dan jika sesuai saya ingin terus membelinya, duit itu baru sahaja dikeluarkan daripada bank, tetapi, ia juga dihanyutkan banjir,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd. Zaidi bersama 16 lagi pemilik rumah yang hanyut dibawa melihat tapak cadangan penempatan semula mereka bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Kampung Desa Keda Sadek, di sini.

Menurutnya, walaupun kini semua angan-angan itu sudah tinggal kenangan apabila hilang segala harta benda dan rumah, namun dia bersyukur isteri dan dua anak mereka selamat.

Sementara itu, Nor Azlan Aziz, 37, pula berkata, perasaan sedih tidak dapat dielak ketika ini apabila terpaksa meninggalkan kawasan rumah lamanya yang telah dihanyutkan banjir.

“Saya sedih kerana terpaksa berpindah ke kawasan lain, banyak kenangan di sini, tetapi demi keselamatan keluarga, saya akur untuk berpindah di rumah yang akan disediakan oleh kerajaan bagi memulakan hidup baharu.

“Terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), penduduk kampung, orang ramai dan sebagainya yang amat prihatin dan sentiasa membantu mangsa-mangsa banjir ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membina rumah baharu jenis teres kepada 17 keluarga itu di atas tanah berkeluasan kira-kira 1 hektar dengan anggaran kos RM1.5 juta.

Menurutnya, rumah itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan yang bukan sahaja diberikan kepada keluarga yang hilang tempat tinggal tetapi juga mangsa yang rumah mereka mengalami kerosakan sehingga 80 peratus. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN