Tiada sisa minyak hitam dikesan di Sungai Langat - Utusan Malaysia

Tiada sisa minyak hitam dikesan di Sungai Langat

ANGGOTA LUAS menunjukkan sampel air yang diambil dekat muka sauk LRA di Batu 11, Cheras selepas pihaknya menerima aduan mengenai kewujudan kesan minyak pada Sungai Langat, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Loji Rawatan Air (LRA) di Cheras yang terletak berhampiran dengan kawasan didakwa berlaku pencemaran kira-kira dua kilometer dari muka sauk di Sungai Langat, tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.

Perkara itu disahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang mengenal pasti tiada sisa minyak hitam dibuang ke dalam Sungai Langat, seperti yang diadukan kepada pihaknya sebelum ini.

LUAS dalam kenyataannya berkata, anggotanya terus membuat pemeriksaan sebaik sahaja menerima laporan berhubung perkara tersebut, semalam.

“Jarak lokasi insiden tersebut ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Batu 11, Cheras adalah dua kilometer dan siasatan LUAS ke lokasi pertama iaitu 500 meter dari muka sauk mendapati tiada sebarang kesan minyak atau bau yang abnormal ditemukan.

“LUAS meneruskan siasatan sehingga ke hulu Sungai Langat dan masih mendapati tiada kesan minyak dan bau abnormal dikesan seperti yang dilaporkan,” katanya hari ini.

Menurutnya, beberapa pegawai daripada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) turut mengikuti siasatan kes berkenaan.

“LUAS meneruskan pemantauan 24 jam tanpa henti bagi memastikan kelangsungan sumber air di Selangor sentiasa terjamin dan terpelihara

“Semua pihak termasuk masyarakat umum diseru terlibat sama dalam memulihara persekitaran badan atau sumber air. Kelalaian atau perbuatan negatif dengan menjadikan sungai dan persekitarannya sebagai tempat pembuangan atau pelupusan boleh mengundang ancaman kepada kelancaran fungsi LRA,” tegasnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN