KUANTAN: Malaysia masih gagal mengekang isu kartel yang lebih 25 tahun bermaharajalela menguasai serta menyeleweng minyak masak peket sehingga menyebabkan bekalannya berkurangan di pasaran.
Akibat kegagalan itu, Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) mendakwa, hak pengguna di negara ini dirompak pihak lain dan kerugiannya sehingga kini mencecah ratusan bilion ringgit.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, akibat terlalu lama dibiarkan ‘bebas’, kini bukan mudah untuk kerajaan membanteras rangkaian sindiket yang terdiri daripada pelbagai lapisan perniagaan seperti kedai runcit, pembekal, pemborong, pembungkus dan pengilang.
“Kartel dan sindiket ini begitu kuat dan dapat menguasai situasi dari semasa ke semasa, seolah-olah ada tali barut membantu rangkaian ini.
“Rangkaian ini dipercayai terdiri daripada mafia membabitkan kumpulan sindiket dari Filipina,. Thailand untuk kegunaan tempatan dan yang paling besar pemborong dan pengeksport tempatan.
“Kesemua sindiket ini menguasai minyak masak, minyak sawit dan minyak masak terpakai,” katanya di sini semalam.
Isnin lalu, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng dilaporkan berkata, seakan ada sesuatu yang tidak kena dalam isu minyak peket kerana kuota bersubsidi masih berlaku kekurangan bekalannya.
Pada masa ini Malaysia adalah pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia selepas Indonesia yang menjadi pesaing utama negara dalam pengeluaran komoditi berkenaan.
Ketika ini terdapat sebanyak 5.74 juta hektar kawasan penanaman sawit di seluruh negara, menyaksikan Malaysia mengeluarkan purata 20 juta tan metrik minyak sawit setahun.
Memberikan contoh, Mohd. Firdaus berkata, Pontianak sebahagian Kalimantan bersempadan dengan Tepedu, Serian Sarawak, Kepulauan Sulu dan Filipina bersempadan dengan Pulau Sebatik, Lahad Datu dan Semporna di Sabah, semua ini bergantung kepala bekalan minyak masak, gas, diesel dan barangan keperluan asas dari negara ini yang diseludup keluar.
“Bot laut dalam nelayan Pantai Timur juga menyeludup diesel, minyak masak ke bot nelayan Thailand, Vietnam dan Kemboja. Negara kita bocor dan rasuah,” katanya.
Isu ini katanya, berterusan berlaku kerana kerajaan lepas pandang, tidak dapat maklumat dan apabila ada pihak yang menyalurkan maklumat, ia langsung tidak diambil peduli.
Beliau dalam pada itu berkata, YPNM menyeru kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas terdiri daripada Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Pejabat Peguam Negara, Pejabat Akauntan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepenggunaan.
Jawatankuasa khas itu katanya, bagi mengkaji dan melakukan forensik keseluruhan terhadap semua pemain industri minyak masak sejak lima tahun di seluruh negara termasuk peruncit, pemborong, pengedar, pembungkus dan pengilang.
“Menerusi usaha ini, kerajaan dapat mengenal pasti kartel dan sindiket yang memonopoli minyak masak peket satu kilogram serta merosakkan sistem ekonomi dan jaminan keselamatan makanan.
“Kerajaan perlu segera bertindak kerana kartel dan sindiket ini berpengalaman menipu jabatan dan agensi kerajaan sejak sekian lama dan perlu mengambil tindakan yang cukup tegas demi keselamatan pengguna dan negara,” katanya. – UTUSAN










