HULU TERENGGANU: Sepasang suami isteri reda menerima ketentuan takdir setelah anak keempat mereka yang dilahirkan pada 31 Mei lalu disahkan menghidap pelbagai komplikasi penyakit sehingga tidak dapat menyusu secara normal.
Sunira Musaraini Mustaffa, 41, dan suami, Zaifulnizam Ismail, 41, yang tinggal di Kampung Bukit Kolam, Ajil di sini nekad menjaga anak syurga mereka, Qaseh Nurhawa dengan penuh kasih sayang hingga ke akhir hayat.
Menurut Sunira Musaraini, bayi dilahirkannya secara pembedahan itu bukan sekadar punyai masalah tulang dagu, saluran pemakanan dan pernafasan sempit, tetapi juga lebihan cecair di dalam kepala.
“Sewaktu mengandung, dua kali saya disahkan positif Covid-19 iaitu Oktober tahun lalu di tahap empat dan Mac tahun ini di tahap satu. Mungkin asbab ini bayi dilahirkan dengan pelbagai komplikasi penyakit.
“Imbasan dilakukan ketika usia kandungan 18 minggu didapati lebihan cecair dalam kepala bayi yang berkemungkinan tinggi mengakibatkan kepala besar. Selepas dilahirkan, anak saya ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu selama 13 hari.
“Berikutan masalah tulang dagu, Qaseh Nurhawa tidak dapat menyusu secara normal dan terpaksa dipasang tiup. Dia juga hadapi beberapa masalah lain lagi termasuk masalah di bahagian tulang belakang, buah pinggang,” katanya di sini, semalam.
Tiga lagi anak pasangan tersebut berusia berusia 12, 16 dan 18 tahun.
Tambah Sunira Musaraini yang bekerja sebagai penjual kuih, kesihatannya juga tidak begitu baik dan terpaksa bergantung kepada ubat mencairkan darah berikutan mengalami masalah darah beku di dalam paru-paru.
Tambahnya, suaminya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah kini diberi cuti oleh majikan bagi menguruskan keluarga kerana dia masih dalam tempoh berpantang serta bayinya perlukan rawatan susulan.
Orang ramai yang ingin sampaikan sumbangan kepada Qaseh Nurhawa boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 1150029000205826 atas nama Sunira Musaraini Mustaffa. –UTUSAN ONLINE










