MELAKA: Pencak silat kini sudah mendapat pengiktirafan di 85 buah negara sebagai salah satu sukan seni bela diri dunia.
Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat), Datuk Seri Prabowo Subianto berkata, perkembangan itu membuktikan warisan nusantara itu sudah mendapat tempat dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia.
Beliau berkata, silat bukanlah seni bela diri yang mengajar pengamalnya ke arah keganasan, sebaliknya diwujudkan bagi mempertahankan diri, keluarga, agama dan negara.
“Ia bukanlah seni bela diri yang digunakan untuk keganasan dan sama sekali tidak menanamkan sikap kebencian. Pencak silat sebuah sukan yang mempromosikan sikap terpuji seorang manusia dengan semangat seorang pendekar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Kejuaraan Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, malam tadi.
Upacara perasmian disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam. Kejuaraan tersebut menampilkan lebih 500 pesilat dari 40 buah negara merebut gelaran juara dunia.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, silat perlu terus dimartabatkan di Malaysia dan negeri ini khususnya terutama dalam kalangan generasi masa kini.
“Seni silat memainkan peranan yang besar dan amat signifikan dalam memastikan budaya anak bangsa ini terkenal dan diwarisi di peringkat sejagat.
“Seperti mana kita sedia maklum, silat kini berkembang luas bukan hanya di rantau ini tetapi juga di negara-negara lain di dunia yang tidak berkongsi budaya dan adat resam yang sama. Perbezaan inilah yang menyatukan kita sebagai pengamal seni silat,” katanya. –UTUSAN ONLINE