MELAKA: Sesi pertanyaan-pertanyaan untuk jawab lisan hari kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tegang apabila wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) mendakwa, Jawatankuasa Jonker Walk mengaut keuntungan ‘melampau’ mencecah RM30,000 sebulan.
Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) membangkitkan perkara tersebut kerana berpendapat, keuntungan itu tidak setimpal dengan pembangunan dan keselamatan di kawasan pelancongan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis bangun menjelaskan, beliau telah meneliti akaun pihak terlibat dan mendapati jumlah keuntungan diperoleh tidak seperti didakwa.
TELITI
“Apabila saya teliti akaun, bukan RM30,000, tapi lebih kurang RM3,000. Dulu saya sangka macam itu juga. Ikhlas saya cakap pada YB (Yang Berhormat), kita jangan bersangka buruk terhadap jawatankuasa ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukan Chee Leong di Seri Negeri di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Chee Leong dilihat masih tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut atas alasan terdapat surat dikeluarkan Jawatankuasa Jonker Walk kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang menyatakan perbelanjaan menguruskan kawasan berkenaan adalah RM13,500 sebulan.
Menurut Ahli Jawatankuasa DAP Melaka itu, jumlah yang dibayar sangat rendah berbanding hasil diperoleh jawatankuasa tersebut.
Menjawab perkara itu, Muhammad Jailani berkata, akaun pengurusan yang telah diaudit perlu dijadikan rujukan dan bukan sekadar melihatnya secara tersurat semata-mata.
Katanya, ini kerana pembayaran kepada MBMB melibatkan jumlah tertentu, tetapi kos lain seperti pembersihan dan keselamatan juga perlu diambil kira.
“Saya bukan hendak pertahankan tetapi adalah fakta dan kenyataan akaun diaudit ada deklarasi di bawah Akta Berkanun, tidak mungkin ada penipuan di situ,” jelasnya.
Keengganan Chee Leong untuk duduk dan meneruskan pertanyaan mendapat teguran Yang Dipertua DUN, Datuk Ibrahim Durum serta bantahan daripada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan.
Susulan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali bangun mencelah bagi meredakan suasana, selepas pihak pembangkang terus menuntut penjelasan.
Beliau mengarahkan MBMB berbincang dan memanggil kedua-dua pihak untuk melihat sendiri benar atau tidak Jawatankuasa Jonker Walk mendapat keuntungan seperti didakwa. – UTUSAN










