KLANG: Rang Undang-Undang (RUU) Pesara dan Bekas Polis yang bakal dibentangkan di Parlimen perlu memfokuskan isu pembelaan nasib golongan pasukan keselamatan itu secara menyeluruh.
Ini kerana, tidak semua golongan yang menamatkan perkhidmatan sebagai polis hidup dalam keadaan senang.
Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Baharudin Abu berkata, fokus itu perlu diberikan kepada pesara dan bekas polis terutama berpangkat rendah yang amat memerlukan bantuan.
“Ramai pesara dan bekas anggota polis yang masih bekerja dalam pelbagai bidang terutama untuk menampung kehidupan mereka.
“Sebagai contoh di Wilayah Persekutuan, ramai ahli PBPM tinggal di program perumahan rakyat termiskin (PPRT) dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pekerjaan lain dengan gaji tidak seberapa,” katanya selepas menziarah seorang pesara polis, Zainab Wan Mohamed, 83, di Meru di sini, hari ini.
Pada 22 Jun lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan satu jawatan kuasa khas dilantik untuk menyediakan draf RUU tersebut.
Draf itu akan diteliti sebelum diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Jelas Baharudin, pihaknya amat menyambut baik pembentangan RUU berkenaan kelak.
“Namun, ia perlu diluaskan dengan melibatkan pembelaan nasib semua pesara dan bekas anggota polis.
“Ia termasuk bantuan bukan saja pemberian wang tunai, malah, latihan atau geran sama ada untuk PBPM di peringkat Pusat atau negeri,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya turut memohon bantuan diberikan kepada PBPM untuk diberikan ruang pejabat bagi menjalankan aktiviti.
“Kami berharap kerajaan membantu menyediakan ruang pejabat yang selesa untuk pentadbiran pengurusan persatuan. Ia dapat melancarkan usaha kami membantu setiap ahli bermasalah dan menyediakan modal kepada pesara dan bekas polis untuk memulakan perniagaan,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE










