RM21 juta bangunkan 317 tanah rancangan Felda - PM

RM21 juta bangunkan 317 tanah rancangan Felda – PM

ISMAIL SABRI Yaakob (empat dari kanan) merasmikan Sambutan Hari Peneroka Felda 2020 di Padang Awam Felda Rentam di Bera, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan khas pembangunan berjumlah RM66,000 bagi setiap tanah rancangan Felda di seluruh negara. 

Perdana Menteri berkata, kesemua 317 tanah rancangan itu memperoleh peruntukan khas tersebut sempena ulang tahun penubuhan Felda ke-66 tahun ini yang keseluruhannya berjumlah RM21 juta.

“Infrastruktur di kawasan Felda dilihat antara yang terbaik lantas menempatkan rancangan-rancangan sebagai komuniti contoh luar bandar.

“Ini dapat dicapai melalui pelbagai dana dan inisiatif bagi menyediakan infrastruktur yang terbaik buat warga Felda,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2022 di Felda Rentam di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan hadiah juara Anugerah Kecemerlangan Rancangan Felda (AKRF) dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

Ismail Sabri berkata, bagi membantu dan meringankan beban generasi baharu Felda memiliki rumah sendiri, kerajaan bersetuju menjadikan sewa bulanan yang dibayar penghuni Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) ditukarkan kepada deposit pembelian rumah.

Selain itu katanya, sebanyak RM20 juta diperuntukkan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan sebagai cagaran kepada pinjaman-pinjaman perumahan yang bakal dibuat generasi baharu Felda.

“Hari ini saya mengumumkan RM7.6 juta sewaan bulanan yang dibayar 2,025 penghuni PGBF serta sewaan yang dikutip selepas ini dijadikan deposit apabila mereka membeli kediaman PGBF tersebut. 

“Sebagai contoh bayaran sewaan selama 36 bulan berjumlah RM10,800 akan dijadikan deposit lantas mengurangkan pembiayaan satu unit rumah tengah yang berharga RM90,000 kepada RM79,200 sahaja,” katanya. 

Dalam pada itu beliau berkata, baki 1,400 unit PGBF yang belum disiapkan dengan kos pembangunan keseluruhan RM204 juta di seluruh negara akan diteruskan melalui inisiatif pembiayaan swasta yang mana pihak pemaju akan menanggung kos pembinaan tanpa memerlukan dana daripada Felda.

 Beliau memberitahu,  projek rintis ini akan dilaksanakan di Felda Bukit Aping Timur dan Felda Pasak di Johor serta Felda Chiku 5 di Kelantan. 

Tambahnya, penambahbaikan kepada model PGBF yang lebih mampan juga telah dilaksanakan dengan pengenalan inisiatif lot generasi Felda yang mana sehingga kini, 8,670 unit lot dikenal pasti seluruh negara.

 “Buat masa ini inisiatif ini  dilaksanakan di Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Kelantan dan Kedah. Di Parlimen Bera ini sahaja, 250 lot telah dikenal pasti iaitu di Felda Kumai dan Felda Triang 1,” katanya. 

Sementara itu beliau berkata, bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada usahawan dalam kalangan generasi baharu, Felda memperuntukkan dana pusingan RM10 juta bagi tujuan tersebut. 

Ujarnya, pinjaman tanpa faedah itu diberikan dengan nilai minimum RM5,000 hingga maksimum RM20,000 mengikut pakej dan belia Felda dari seluruh negara yang berminat boleh mula membuat permohonan bermula Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN