Rezeki Aidiladha: Satu kampung dapat seekor lembu korban - Utusan Malaysia

Rezeki Aidiladha: Satu kampung dapat seekor lembu korban

MUHAMMAD Allif Ibrahim (kanan) bersama pengerusi MPKK di DUN Kota menyertai Program Korban Perdana di Dewan Orang Ramai Chengkau, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Bagi menghidupkan ibadat korban di setiap kampung, sebanyak 25 buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota di sini masing-masing menerima seekor lembu menerusi Program Korban Perdana anjuran Pejabat Penyelaras DUN Kota.

Penyelaras DUN Kota, Muhammad Allif Ibrahim berkata, program julung kali diadakan itu dilihat dapat memberi manfaat kepada kira-kira 2,500 golongan asnaf dan memerlukan di DUN berkenaan.

“Alhamdulillah, proses sembelih serta melapah lembu korban dijalankan secara gotong-royong bersama kepemimpinan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di DUN ini.

“Agihan daging diberikan kepada 100 individu di setiap kampung dengan golongan asnaf diutamakan dan telah dikenal pasti terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui Dewan Orang Ramai Chengkau, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Sawah Raja, Ramli Razak, 66, berkata, sumbangan seekor lembu kepada setiap kampung merupakan usaha yang sangat baik bagi memastikan tidak ada golongan asnaf yang tertinggal dalam menerima daging korban,

“Tentunya ia amalan terpuji dalam menghidupkan ibadat korban di setiap kampung. Golongan asnaf di kampung-kampung mesti kita utamakan. Saya harap ia akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang dalam memberi kegembiraan kepada golongan asnaf ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN