Rakyat Melayu Islam Champa bersyukur dapat daging korban - Utusan Malaysia

Rakyat Melayu Islam Champa bersyukur dapat daging korban

KAMARUDDIN Ariffin Idris (memegang plakad) menyumbangkan ternakan korban di Kampung Mimai Semai, Daerah Ponyekrek, Wilayah Tbongkhmom di Kemboja. - UTUSAN /HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMBOJA: “Penduduk di sini cuma dapat menikmati daging korban setahun sekali sahaja ketika sambutan Hari Raya Aidiladha sebelum ini, malah, sejak dua tahun lalu, langsung tidak ada majlis korban kerana ancaman pandemik Covid-19,” kata Rumly Yusof, 41, Imam Masjid Diyauttin Kampung Chimaan, Daerah Ponyekrek, Wilayah Tbongkhmom.

Rumly berkata, penduduk Melayu Champa yang beragama Islam di situ dan beberapa kampung lain di daerah Ponyekrek hanya dapat menikmati daging korban daripada sumbangan luar, khususnya pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu daripada Malaysia.

Paling memilukan kebanyakan penduduk Melayu Champa di daerah itu sudah dua tahun tidak menjalankan majlis korban kerana tidak ada bantuan luar berikutan ancaman pandemik Covid-19 dan penutupan sempadan antarabangsa.

Rumly menjelaskan, ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, kebanyakan penduduk Islam tidak mampu membeli daging lembu untuk juadah keluarga kerana harganya mahal, iaitu RM35 sekilogram.

“Sekiranya penduduk perlukan daging lembu, mereka terpaksa ke bandar yang agak jauh serta memakan masa dan menanggung kos pengangkutan yang tinggi.

“Di kampung ini dan berdekatan, tidak ada peniaga atau orang Islam yang menyembelih lembu untuk dijual kerana ternakan ini kebanyakannya dimiliki oleh penduduk tempatan (Kemboja) yang beragama Buddha,” katanya di Kampung Chimaan di sini semalam.

Rumly menceritakan hal tersebut kepada Utusan Malaysia yang mengikuti empat dermawan dari Jerantut, Pahang yang menjalankan ibadah korban di Kampung Chimaan dan tujuh buah kampung lain di daerah Ponyekrek, Kemboja.

Dermawan berkenaan, iaitu Abdul Rafiq Fateh Mohamad, Kamaruddin Ariffin Idris, Ahmad Nazlan Idris dan Yusof Che Daud yang menyumbangkan lapan ekor lembu untuk majlis korban di lapan buah kampung daerah itu.

Keempat-empat dermawan itu mewakili keluarga masing-masing mengatur majlis korban di semua kampung tersebut dengan bantuan pihak pengurusan masjid di situ.

Rumly berkata, kesemua lembu korban dibeli daripada penternak lembu bangsa Kemboja yang beragama Buddha menjalankan ternakan di daerah itu.

“Setiap tahun menjelang Hari Raya Aidiladha, saya sendiri akan menguruskan pembelian ternakan korban antara harga RM2,500 hingga RM3,000 ke setiap buah kampung di daerah ini.

“Mana mampu penduduk di sini hendak membeli lembu untuk majlis korban kerana rata-raya kami hidup susah yang cuma memperoleh pendapatan tidak kurang daripada RM500 dan di bawah kategori kemiskinan,” katanya.

Rakannya, Imam Masjid Kampung Mimai Semai, Ashaari Adam, 66, menambah penduduk di situ agak terkejut apabila diberitahu empat dermawan dari Pahang menyumbangkan lembu korban.

“Saya dan penduduk di sini bersyukur dapat menikmati daging korban tahun ini setelah dua tahun majlis (korban) tidak diadakan di sini kerana ancaman pandemik Covid-19.

“Kami di sini sangat susah cuma memperoleh pendapatan yang kecil, namun, masih tidak mencukupi untuk belanja barang keperluan dapur.

“Kita berharap ada dermawan dan NGO dari Malaysia yang dapat menyumbangkan ternakan setiap tahun untuk majlis korban di sini,” katanya.

Ashaari sebagai imam kepada 130 ahli kariah kampung tersebut turut berharap dermawan dan NGO dari Malaysia menyumbangkan dana untuk membina telaga tiub di situ untuk kemudahan bekalan air bersih.

Para dermawan dan NGO dari Malaysia yang ingin beramal jariah untuk menyumbangkan ternakan dan dana membina telaga tiub bolehlah menghubungi Rumly menerusi talian +855972003592. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN