Program Bimbingan Usahawan SSM galak komuniti perniagaan manfaat SPPP - Utusan Malaysia

Program Bimbingan Usahawan SSM galak komuniti perniagaan manfaat SPPP

ANTARA para peserta yang hadir pada program Bimbingan Usahawan 2022 (PBU22) di Auditorium Tun Dr. Siti Hasmah, Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini, hari ini.-UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dalam usaha menyokong inisiatif kerajaan untuk memudah cara rakyat menceburi bidang perniagaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) meneruskan penganjurkan Program Bimbingan Usahawan (PBU22) siri kedua bagi tahun 2022 melibatkan lebih 200 peserta dari seluruh negara.​

PBU22 yang diadakan secara fizikal dan dalam talian di Menara SSM@Sentral pada 14 Julai 2022, bertujuan memupuk kesedaran masyarakat mengenai keperluan mendaftarkan perniagaan selain menikmati faedah-faedah dan inisiatif yang ditawarkan.

Selain mengetengahkan topik-topik penting seperti kepentingan mendaftarkan perniagaan, PBU22 juga memberi fokus kepada inisiatif Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) SSM yang diperkenalkan pada 23 Disember 2020 bagi membantu komuniti perniagaan daripada usahawan kumpulan B40 serta pelajar institusi pengajian tinggi sepenuh masa mendaftarkan perniagaan mereka di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, SPPP telah diperkenalkan bagi membantu individu terjejas atau hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 untuk mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma melalui pengecualian fi pendaftaran.

“Sejak mula diperkenalkan hingga 30 Jun 2022, jumlah perniagaan yang berjaya didaftarkan secara percuma di bawah SPPP adalah sebanyak 36,927.

“Keperluan terhadap pendedahan dan pengetahuan di permulaan langkah dalam menceburi bidang perniagaan merupakan salah satu pendekatan yang baik bagi memperkasa budaya keusahawanan dalam komuniti perniagaan di negara ini.

“SPPP telah berjaya membuka landskap dan peluang perniagaan dalam membantu rakyat yang terjejas punca pendapatan atau hilang pekerjaan berikutan pandemik Covid-19 untuk menceburi bidang perniagaan sebagai punca pendapatan yang baru,” katanya semasa majlis perasmian PBU22.

SPPP telah dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan pada peringkat awal, skim itu ditawarkan kepada belia dan ibu tunggal dalam kumpulan B40 serta pelajar IPT sepenuh masa di mana skim ini kini tidak lagi terhad kepada golongan itu sahaja.

Dalam pada itu, Nor Azimah berkata, semasa PBU22 siri kedua, peserta didedahkan dalam empat sesi perbincangan iaitu keperluan dan faedah mendaftarkan perniagaan, strategi perniagaan dan pengurusan kewangan, kaedah pemasaran digital dan plenari bersama agensi pembiayaan terlibat Tekun, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Bank Rakyat serta SME Corporation Malaysia (SME Corp.)

Pada Februari lalu, PBU22 diadakan secara maya dengan penglibatan lebih 1,000 peserta di seluruh negara.

Sementara itu, seorang peserta, Zulkifli Lubis Alimuddin, 56, dari Seremban, Negeri Sembilan berkata, PBU22 menjadi platform terbaik untuk usahawan mendapatkan maklumat lengkap mengenai faedah-faedah dan inisiatif.

Katanya, pendedahan yang diberikan dalam kursus separuh hari itu sekali gus memberi panduan untuknya membesarkan lagi perniagaan baja organik yang diusahakan sejak tahun lalu.

“Ini kali pertama saya menyertai kursus yang disediakan SSM yang mana perkongsian menerusi empat sesi itu memberi banyak maklumat terutama berkaitan pinjaman perniagaan.

“Sehingga kini, saya sudah mengeluarkan enam produk seperti tanah hitam sawit, ibu baja dan racun serangga serta berharap dapat menambah lagi peralatan untuk meningkatkan pengeluaran,” katanya.

Usahawan telekung, Rozita Mat Reshad, 50, pula menyifatkan penyertaan dalam PBU22 sebagai peluang keemasan untuk menimba ilmu baharu perniagaan secara percuma.
Katanya, sebelum ini kesemua kursus bimbingan perniagaan yang disertainya adalah berbayar kerana kekurangan maklumat mengenai program-program yang disediakan agensi kerajaan.

“Walaupun sudah berniaga sejak 2016, baru tiga kali saya menyertai kursus yang disediakan secara percuma oleh agensi terlibat.

“Saya berharap lebih banyak lagi kursus PBU22 diadakan kerana input yang menarik dan membantu menambahkan maklumat usahawan untuk bangkit dalam perniagaan masing-masing selepas diuji dengan pandemik Covid-19,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya