Polis Pahang buka dua kertas siasatan insiden pengeboman ikan  - Utusan Malaysia

Polis Pahang buka dua kertas siasatan insiden pengeboman ikan 

MOHD. Yusri Hassan (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota cemerlang di perhimpunan bulanan polis Kontinjen Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan insiden pengeboman ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling di Jerantut, dekat sini pada 16 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya sedang menyiasat maklumat kebocoran yang melibatkan kejadian itu yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Menurutnya, siasatan tersebut dilakukan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang juga sedang menyiasat dakwaan insiden ‘pengeboman’ tersebut.

“Polis akan memanggil beberapa individu untuk merekodkan kenyataan mereka tentang laporan polis yang bocor berhubung insiden tular itu.

“Dalam pada itu pula, pihak Perhilitan akan meneliti dakwaan insiden pengeboman yang berlaku di dalam Taman Negara. Saya tidak mahu komen banyak kerana siasatan masih dijalankan dan kita beri mereka masa menyiapkan laporan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Mohd. Yusri berkata, pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan yang membabitkan pendedahan maklumat berhubung siasatan rasmi dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. 

Pada 22 Julai lalu, polis menerima laporan tindakan sekumpulan individu yang turut disertai wakil rakyat setempat di Jerantut yang menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia. 

Dua hari kemudian seorang kontraktor, Mohd. Rosli Awang, 44, sebaliknya mengaku beliau menggunakan enam biji mercun bola jenama Ap Boom tetapi hanya dua sahaja yang meletup.

Sementara itu, Yusri dalam ucapannya berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pegawai atau kakitangan yang didapati membocorkan dokumen atau maklumat sulit, menyebar dan berkongsi laporan polis, fakta kes, klip video, imej mangsa, adegan kejadian, item kes dan butiran siasatan kepada orang ramai. 

“Perbuatan seperti itu akan mencemarkan imej jabatan, perkhidmatan awam dan kerajaan. Mereka yang membocorkan maklumat melalui telefon pintar dan peranti elektronik boleh diketepikan dan didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya