JOHOR BAHRU: Polis selesai mengambil keterangan 12 saksi dalam kes kematian seorang banduan di Penjara Kluang pada 28 Jun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, saksi tersebut terdiri daripada tiga ahli keluarga banduan berkenaan, lima banduan serta petugas penjara.
“Bedah siasat telah dijalankan oleh pihak makmal sebuah hospital di Johor Bahru dan kita masih menunggu keputusan bagi menentusahkan punca kematian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini.
Beliau ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan IPK Johor, hari ini. Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Khaw Kok Chin.
Pada 28 Jun lalu, Kim Shih Keat dijadualkan dibebaskan dari Penjara Kluang selepas menjalani hukuman penjara selama tujuh hari dan denda sebanyak RM15,000 kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada 22 Jun lalu.
Walau bagaimanapun, keluarga lelaki berkenaan yang dalam perjalanan untuk mengambil Shih Keat mendakwa menerima panggilan pada pagi hari yang sama daripada pengurus rumah mayat yang memaklumkan mangsa telah meninggal dunia.
Kelmarin, ahli keluarga Shih Keat memohon laporan bedah siasat dan kimia tentang kematian lelaki berkenaan dapat didedahkan selewat-lewatnya Jumaat ini.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, selesai proses bedah siasat ke atas mendiang, mayatnya diserahkan kepada pihak keluarga sehari selepas mangsa dilaporkan meninggal dunia. – UTUSAN