KUANTAN: Kerajaan negeri memperuntukkan RM626,600 untuk disalurkan kepada kira-kira 3,133 nelayan di seluruh negeri ini menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP).
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menerusi bantuan tersebut, nelayan terbabit menerima RM200 setiap seorang.
“Walaupun jumlah tersebut tidak sebesar mana, tetapi, saya berharap ia dapat menampung perbelanjaan dan membeli keperluan harian mereka.
“Insya-Allah kita akan teruskan lagi bantuan seumpama ini sehingga kesemua golongan disasarkan menerima bantuan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian BPP 2022 fasa dua kluster nelayan peringkat Negeri Pahang di Auditorium Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, memandangkan ramai dalam kalangan nelayan terjejas ketika pandemik Covid-19, maka, banyak bantuan bakal disalurkan dari semasa ke semasa.
Jelasnya, kerajaan negeri juga bersetuju memperuntukkan RM500,000 untuk bantuan makanan ternakan ikan kepada 100 pengusaha ternakan ikan sangkar.
“Pemberian makanan ini dijangka dapat menampung kos operasi penternak untuk sepusingan ternakan bagi satu petak sangkar dengan sasaran pengeluaran sebanyak 600 kilogram hasil ternakan.
“Sebanyak 10 beg makanan jenis starter dan 50 bag makanan jenis grower dapat dibekalkan kepada seorang penternak dengan nilai RM5,000 bagi tempoh lapan bulan kepada ternakan ikan patin,” katanya.
Susulan itu juga, beliau berkata, kerajaan negeri turut meluluskan pemberian bantuan ‘in-kind’ kepada kira-kira 380 orang nelayan darat seluruh negeri ini.
“Pemberian tersebut melibatkan peralatan seperti jala, jaring dan peralatan keselamatan dengan nilai RM1,000 untuk seorang penerima yang melibatkan implikasi kewangan keseluruhan berjumlah RM380,000.
“Inilah usaha-usaha yang kita telah gerakkan bagi membantu golongan nelayan tidak kiralah sama ada nelayan laut atau pun nelayan sungai atau penternak ikan sangkar,” katanya. –UTUSAN ONLINE










