ALOR SETAR: Kerajaan negeri berharap pemasangan siren amaran awal di Kampung Iboi, Kupang di Baling dilakukan segera bagi mengelak risiko berlakunya kemalangan jiwa dan kerosakan sekiranya berlaku fenomena kepala air.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Najmi Ahmad berkata, kerajaan negeri akan menyerahkan kajian berkaitan perkara tersebut kepada agensi berkenaan untuk tindakan segera.
“Oleh kerana kita tidak dapat jangka, kita berasa amat perlu dipasang sistem amaran awal di Gunung Inas sebab dengan keadaan cuaca tidak menentu dan bentuk muka bumi, penduduk terdedah kepada risiko tragedi kepala air yang berulang.
“Kita memang memberi keutamaan kepada keselamatan penduduk, di peringkat kerajaan negeri sudah bertindak pantas dalam menangani persoalan ini dan kita rasa sistem amaran ini sangat perlu,” katanya selepas menghadiri Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-16 di sini, hari ini.
Tambah beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, pihaknya mengambil maklum tentang kebimbangan penduduk di kawasan berkenaan terutama dengan impak kepala air itu yang mengubah struktur sungai terutama Hutan Lipur Lata Celak yang semakin cetek kerana dipenuhi pasir.
“Kerja membuat benteng pasir dan mendalamkan sungai itu sedang dijalankan oleh agensi berkaitan dan pemantauan pihak terbabit sering dilakukan.
“Tindakan sedang dijalankan seperti mendalamkan sungai dan bina benteng. Kita harap orang kampung jangan risau kerana perkara itu dalam perhatian kerajaan dan semua agensi terlibat sedang melaksanakan kerja mereka,” katanya.
Tragedi kepala air di Gunung Inas pada 4 Julai lalu mengorbankan tiga nyawa penduduk serta mengakibatkan lebih 800 rumah penduduk terutama di Kampung Iboi dan sekitar Kupang terjejas. –UTUSAN ONLINE