Perlis juga bersedia laksana akta larangan lompat parti - Utusan Malaysia

Perlis juga bersedia laksana akta larangan lompat parti

AZLAN Man (dua dari kanan) pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 peringkat negeri ini di Denai Larian, Pengkalan Asam, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri bersedia untuk meminda Undang-Undang Tubuh kerajaan negeri itu bagi membolehkan larangan wakil-wakil rakyat melompat parti dikuatkuasakan selaras dengan peringkat Pusat.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pihaknya akan meminta penasihat undang-undang melihat terlebih dahulu Undang-Undang Tubuh Negeri sama ada peruntukan berkaitan hanya memerlukan pindaan atau penambahbaikkan atau mewujudkan enakmen baharu berkaitan larangan lompat parti itu.

Katanya, apabila rang undang-undang tersebut telah diterima di peringkat pusat, maka ia mesti menyeluruh di seluruh negara.

“Undang-undang larangan wakil rakyat lompat parti ini dilihat sangat baik bagi mengelak budaya lompat parti atau beli wakil rakyat ini yang kesannya sangat buruk daripada segi kestabilan politik dan kerajaan sendiri.

“Saya akan melihat secara terperinci peruntukan-peruntukan di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri ini. 

“Kalau diperlukan, kita buat penambahbaikkan terhadap undang-undang tubuh negeri itu sendiri atau perlu memperkenalkan enakmen baharu selari dengan yang diluluskan di Dewan Rakyat,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 peringkat negeri ini di Denai Larian, Pengkalan Asam di sini hari ini.

Kelmarin, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat melompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga.

Sementara itu, tiga negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan meminda perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri masing-masing secepat mungkin, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam perkembangan lain, Azlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, kemasukan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang digerakkan segelintir bekas pemimpin atau wakil rakyat parti itu di negeri ini tidak akan menjejaskan UMNO.

“Saya tidak melihat ia sebagai kejutan dan bukan faktor yang boleh menjejaskan kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

“Kebanyakan mereka (bekas pemimpin UMNO) sudah keluar awal daripada parti dan menyertai parti lain dan ke satu lagi parti lain (Warisan),” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya