SHAH ALAM: Hanya kerana RM5,000, seorang pengarah sebuah agensi kerajaan berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda jika disabit dengan tuduhan rasuah.
Tertuduh, Khusairi Husain, 56, yang juga adalah Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Selangor mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Muhamad Anas Mahadzir.
Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada empat orang anak itu didakwa menerima suapan barang berharga iaitu wang tunai pada jumlah tersebut dekat Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar pada 24 November lalu.
Beliau didakwa menerima suapan daripada seorang pengurus besar sebuah badan berkanun cawangan Klang yang diketahui tertuduh mempunyai kaitan dengan tugas rasmi.
Wang tersebut didakwa diterima sebagai balasan melantik pembekal melaksanakan kerja-kerja membekal benih, baja dan racun berjumlah RM59,794.
Khusairi dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras kemudian menawarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Peguam, Noor Adzrie Mohd. Noor yang mewakili Khusairi memohon jumlah jaminan dikurangkan berdasarkan tanggungan tertuduh. – UTUSAN









