SHAH ALAM: Tiada gangguan bekalan air berlaku apabila Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) melaksanakan henti operasi terhadap Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi selepas pencemaran minyak sawit dikesan berlaku di Sungai Langat.
Pemberhentian operasi itu selepas berlaku tumpahan minyak akibat kemalangan melibatkan dua buah lori muatan minyak sawit dan tanah dekat kilometer (KM) 36.8 arah utara di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Persimpangan Nilai Utara-Bandar Serenia.
Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang semalam menyebabkan berlaku tumpahan minyak sawit ke dalam sistem saliran berhampiran sehingga masuk ke Sungai Semarang dan seterusnya ke Sungai Langat.
Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, bagaimanapun pencemaran tersebut berjaya dikesan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang melakukan rondaan pemantauan 24 jam menemui pencemaran tersebut kira-kira 700 meter dari muka sauk LRA Bukit Tampoi.
“Langkah pencegahan kemudian dibuat oleh Plus Malaysia Berhad (PLUS) dengan meletakkan 25 beg serbuk kayu di kawasan terlibat untuk mengelakkan insiden bertambah buruk. LUAS kemudian meletakkan satu kotak oil pad dalam longkang di lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, LUAS memasang empat oil boom di dua lokasi berbeza di dalam saliran longkang culvet dan selepasnya untuk menghalang aliran sisa minyak dari terus memasuki Sungai Semarang dan Sungai Langat.
Dalam pada itu, Loy Sian memaklumkan, LUAS kemudian meneruskan pemantauan terhadap kawasan pencemaran termasuk melakukan pensampelan bagi mengesan sisa minyak yang masih terdapat di kawasan berkenaan sehingga pukul 3.20 pagi tadi.
“Pensampelan dilakukan oleh LUAS di tiga lokasi berbeza di bahagian hulu, longkang lebuh raya dan hilir sungai. Hasil pensampelan yang dijalankan di lebuh raya menemukan tumpahan minyak yang bertakungan di dalam longkang.
“LUAS meneruskan siasatan dan pensampelan di kawasan hilir dan hulu muka sauk Bukit Tampoi, bagaimanapun, hasil siasatan, tiada sebarang kesan minyak ditemui di kesemua titik pensampelan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, kerja-kerja pembersihan dan penyedutan masih lagi dijalankan oleh premis terlihat dan ini sedang dibantu oleh LUAS melalui kontraktor yang dilantik. –UTUSAN ONLINE