PASIR SALAK: Satu perbincangan lanjut untuk membangunkan Sungai Perak di sini akan diadakan melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Menurut Ismail Sabri, perbincangan tersebut bertujuan memasukkan pembangunan Sungai Perak di Pasir Salak ke dalam pelan kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Teman (saya) ini orang Pulau Tiga Kiri, mestilah nak tengok pembangunan di Kampung Gajah, di Pasir Salak. Insya-Allah, saya akan bincang dengan Datuk Seri Tajuddin secara lebih lanjut.
“Kita akan bincang dan kita akan masukan dalam RMK, kepala tajuk dia untuk kita bangunkan Sungai Perak. InsyaAllah,” katanya ketika berucap selepas Kenduri Rakyat sempena Karnival Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Perak, di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, di sini, hari ini.
Menurut Ismail, kerajaan tidak pernah melupakan sokongan daripada masyarakat Pasir Salak kepada kerajaan dan budi yang baik tetap akan dibalas oleh kerajaan.
Terdahulu, Tajuddin dalam ucapannya pada majlis sama meluahkan rasa sedih sebagai wakil rakyat di Pasir Salak, tidak ada pembangunan berlaku di Kampung Gajah.
Katanya, beliau tidak mempunyai kuasa memandangkan dirinya hanyalah wakil rakyat dan bukanlah menteri serta hanya mampu melaksanakan projek baik pulih rumah serta masjid. – UTUSAN ONLINE