Pasar raya perlu adil jual minyak peket - Utusan Malaysia

Pasar raya perlu adil jual minyak peket

NORENA Jaafar meninjau rak menjual minyak masak botol di sebuah pasar raya di Peringgit, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka meminta semua pasar raya di negeri ini membuat unjuran penjualan minyak peket bersubsidi, bagi memberi peluang kepada semua pengguna membelinya.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, minyak peket dilaporkan sering habis dijual seawal pukul 8.30 pagi disebabkan dibeli rata-ratanya oleh golongan peniaga dan bukannya pengguna isi rumah.

“Apabila orang ramai datang untuk membelinya, mereka mendapati minyak itu tidak ada lantas mereka terus tularkan dalam media sosial bahawa bekalannya tidak mencukupi di pasaran.

“Bekalan minyak peket untuk pasar raya dan peniaga runcit adalah mencukupi di negeri ini kerana penghantarannya mengikut jadual oleh pihak pembekal, mengikut kuota ditetapkan antara 200 kilogram (kg) bersamaan 50 kotak bagi satu premis.

“Bekalan ini dikatakan tidak cukup kerana minyak ini habis dijual di awal pagi setiap hari dan dibeli rata-ratanya oleh golongan peniaga dan bukannya pengguna lain,” katanya ketika sidang akhbar selepas membuat pemantauan di Pasar Besar Melaka, Bachang dan Pasaraya Lotus Peringgit di sini hari ini.

Mengulas berkenaan harga siling runcit baharu ayam standard, Norena berkata, hasil tinjauan di kedua-dua lokasi mendapati, peniaga mematuhi arahan yang ditetapkan iaitu menjual ayam standard pada harga RM9.40 sekilogram.

“Hasil tinjauan juga mendapati peniaga tidak lagi mengenakan caj pemotongan ayam yang sebelum ini dikenakan antara 50 hingga 80 sen seekor,” ujarnya.

Jelasnya, rata-rata peniaga berpuas-hati dengan keputusan kerajaan menaikkan harga siling ayam standard daripada RM8.90 kepada RM9.40 sekilogram, malah, turut berjanji tidak akan menaikkan harga sewenang-wenang dan mengenakan caj pemotongan.

“Bukan menjadi satu kesalahan kepada peniaga ayam untuk mengenakan caj pemotongan ayam dan terpulang kepada pengguna sama ingin memotong ayam itu sendiri atau sebaliknya.

“Menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, bekalan ayam adalah mencukupi kerana setiap premis mempunyai bekalan purata antara 300 hingga 450 ekor satu hari,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN