[PARLIMEN]: Tiada siapa percaya harga barang naik empat, lima peratus sahaja - Anwar - Utusan Malaysia

[PARLIMEN]: Tiada siapa percaya harga barang naik empat, lima peratus sahaja – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan beberapa pendekatan kerajaan ketika ini menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak bersedia untuk menangani masalah inflasi dan kenaikan kos sara hidup secara menyeluruh.

Katanya, pendekatan kerajaan kebanyakannya bersifat konvensional dan tidak ada kesediaan membawa satu perubahan struktur terhadap cara membelanjakan peruntukan untuk keperluan rakyat.

“Perdana Menteri kata kos import tinggi, itu kerana nilai ringgit merudum, perlu ada pendekatan memperkukuh nilai ringgit supaya jumlah import itu tidak meningkat. Dalam soal subsidi minyak, kita mampu turunkan harga minyak jika pendekatan dibuat secara bersasar. Sekarang ini manfaat diperoleh oleh semua, malah juga warga asing seperti disebut oleh Perdana Menteri.

“Dalam soal inflasi ini, kalau barangan dan makanan…tak ada siapa di Malaysia yang percaya harga barangan makanan itu dua, empat atau enam peratus sahaja naik.

“Pergi sahaja ke pasar, saya pergi ke pasar Kerinchi baru-baru ini memang lebih dari lapan peratus. Kalau ikut kajian umum pun kata harga naik. Jadi, mesti realistik beban yang ditanggung oleh rakyat,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau juga menyifatkan, kerajaan tidak menjelaskan tindakan yang diambil apabila berlaku penyelewengan terhadap peruntukan yang disediakan sebelum ini.

“Laporan ketua audit negara mengatakan ada ketirisan dan kebocoran, sebutlah RM70 bilion…sampai kepada kumpulan sasar itu, boleh jadi RM50 bilion boleh jadi RM60 bilion apa tindakan ke arah itu,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan yang bersikap pasif terhadap syarikat-syarikat yang mengaut keuntungan berbilion ringgit tetapi tidak membantu menangani masalah kenaikan harga.

“Mengapa tidak ada kesediaan menekan syarikat besar yang untungnya berbilion ringgit dan memastikan ada kuota penjualan dalam negeri yang lebih rendah, bukan harga pasaran antarabangsa.

“Kalau buat begitu, masalah subsidi boleh dikurangkan tetapi nampaknya kerajaan tidak bersedia untuk mengambil tindakan menggesa dan mendesak syarikat besar yang untungnya besar.

“Kalau dia pengeluar kecil untung ratus ribu setahun saya tak mahu ganggu tapi syarikat besar yang untungnya bilion ringgit dari kesengsaraan rakyat, apa masalahnya nak letakkan kuota 10 hingga 15 peratus supaya memaksa mereka menjual harga lebih rendah kepada rakyat. Tindakan boleh diambil secara menyeluruh dan tidak hanya bicara soal subsidi termasuk subsidi kepada orang kaya,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya