KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak yang menghadapi masalah berhubung pembukaan akaun bank boleh membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, hal ini kerana, BNM tidak pernah mengeluarkan arahan kepada bank-bank tempatan untuk melewatkan mahupun menolak permohonan akaun bank oleh persatuan baharu.
“Jika masih menghadapi masalah membuka akaun, mereka boleh mengemukakan aduan kepada BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465 atau melalui borang web: bnm.my/LINK,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok (PH-Seputeh) yang meminta kerajaan menjelaskan sama ada BNM pernah mengeluarkan arahan berhubung perkara itu.
Jelas Teresa lagi, beliau menerima banyak aduan daripada persatuan baharu bahawa permohonan mereka untuk membuka akaun sama ada ditolak atau ditangguhkan untuk tempoh yang lama.
Mengulas lanjut, Zafrul berkata, proses meluluskan pembukaan akaun simpanan melibatkan proses usaha wajar pelanggan bagi memastikan akaun tersebut tidak digunakan untuk tujuan pengubahan wang haram.
“Institusi kewangan dikehendaki untuk mengenal pasti dan mengesahkan identiti pelanggan menggunakan dokumen dan sumber yang sah.
“Prosedur ini selari dengan ketetapan yang dibuat oleh badan penetap piawaian antarabangsa, Financial Action Task Force (FATF) yang diguna pakai di peringkat antarabangsa.
“Pembuka akaun dinasihatkan untuk menyediakan segala dokumen dan maklumat yang diminta oleh institusi kewangan bagi memudahkan proses pembukaan akaun,” katanya. –UTUSAN ONLINE