[Parlimen] Kerajaan tangguh 30 projek, jimat RM100 juta - Utusan Malaysia

[Parlimen] Kerajaan tangguh 30 projek, jimat RM100 juta

MUSTAPA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menangguhkan kira-kira 30 projek bernilai RM100 juta sebagai langkah penjimatan bagi membantu meningkatkan lagi jumlah subsidi ketika ini.

Antaranya termasuklah pembinaan pusat pemprosesan getah bersepadu di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, perolehan peralatan bagi memodenkan bengkel dalam bidang elektrikal di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Ini juga termasuk projek kerjasama pusat latihan teknologi tinggi dengan institusi pendidikan dan latihan di luar negara di bawah Kementerian Sumber Manusia dan projek penyelidikan strategik di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Ini selepas 7,243 projek pembangunan dengan jumlah peruntukan RM75.6 bilion diluluskan untuk pelaksanaan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menjelaskan, projek yang akan ditangguhkan itu meliputi projek baharu dan sedia ada yang belum memulakan sebarang proses perolehan dan belum diiklankan kepada orang awam.

Katanya, ini termasuk projek bukan keutamaan kecuali projek mempunyai impak segera kepada kesejahteraan rakyat dan projek baharu atau sedia ada yang menghadapi masalah pelaksanaan seperti isu tapak tanah.

“Kita mula sesi libat urus pada 19 Julai lalu dan setakat ini kita telah mengenal pasti 30 projek melibatkan kos RM100 juta, kecil sahaja bilangannya, projek ini belum dijalankan dan belum ada apa-apa persiapan.

“Setakat ini, cuma 30 projek dan sesi libat urus akan berterusan. Kerajaan akan memastikan langkah-langkah penjimatan yang akan dilaksanakan berikutan surat pekeliling Kementerian Kewangan 14 Julai lalu tidak akan menjejaskan usaha pemulihan ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai perancangan kerajaan berkaitan dasar menangguh atau membatalkan projek-projek baharu, serta menamakan projek-projek tersebut dengan kos yang dijimatkan.

Bagaimanapun, Mustapa memberi jaminan bahawa projek-projek yang telah diluluskan dan sedang dilaksanakan tidak akan ditangguhkan.

“Projek seperti Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diteruskan, saya beri jaminan ia akan berjalan seperti dirancangkan, termasuklah Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Beliau bagaimanapun memohon maaf kepada kerajaan negeri Sabah setelah ditanya oleh Datuk Seri Azizah Mohd. Dun (PN-Beaufort) sama ada projek di negeri itu akan turut ditangguhkan.

“Saya mohon maaf jika pengumuman ini menyakitkan hati beberapa pihak, saya ada baca respon kerajaan negeri Sabah. Namun, surat pekeliling yang diedarkan Kementerian Kewangan meliputi seluruh negara dan semua negeri tidak terkecuali.

“Tetapi, kita jangka bulan September ini akan ada satu angka yang kasar peruntukan yang dapat diluluskan bergantung kepada kedudukan kewangan negara, jadi yang terlibat cuma sebahagian kecil sahaja. Projek di Sabah kalau ikut senarai ketika ini satu pun tak terlibat, yang 30 sudah dikenalpasti kecil sahaja, satu pun tak ada dari Sabah,” katanya.

Ketika ditanya oleh Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) sama ada projek di negeri-negeri kurang maju iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis akan ditangguhkan, Mustapa memberikan komitmen bahawa negeri-negeri tersebut akan terus dimajukan.

“Saya memberikan komitmen kerajaan seperti diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bahawa 50 peratus daripada peruntukan pembangunan adalah untuk negeri-negeri kurang maju, itu janji kerajaan.

“Tetapi penjimatan boleh digunakan untuk membiayai sebahagian peningkatan subsidi yang lebih RM40 bilion daripada RM30 bilion yang dimasukkan dalam anggaran belanjawan, naik kepada RM77 bilion…peningkatan yang amat ketara, itulah sebabnya kerajaan perlu melihat semula perbelanjaan mengurus dan sebahagian kecil daripada perbelanjaan pembangunan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya