MELAKA: Kerajaan negeri akan membuat siasatan lanjut terhadap lebih 600 guru yang dikenal pasti mengalami tekanan sehingga mengambil keputusan bersara awal.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, pihaknya memandang serius situasi tersebut dan meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menyiasat guru-guru terlibat bagi mencari punca sebenar tekanan dihadapi.
Katanya, isu itu juga akan dibawa ke peringkat Persekutuan untuk mencari jalan penyelesaian membantu guru-guru sedia ada.
“Kerajaan negeri mengambil serius isu guru murung, kita tahu mereka tertekan dengan bebanan kerja yang ditanggung pada hari ini dengan perubahan masa kerja serta pertambahan tugas.
“Saya ambil serius bebanan tugas guru dan akan meminta JPN menyiasat perkara ini supaya kerajaan negeri boleh mengetengahkan ke peringkat pusat,” katanya dalam sidang akhbar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini, hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin mendedahkan, 648 guru di Melaka dikenal pasti menghadapi tekanan dan kemurungan.
Menurutnya, seramai 28 guru atau 4.32 peratus dikesan berada pada tahap kemurungan menerusi saringan Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS) dikendalikan Sektor Psikologi dan Kaunseling serta JPN. –UTUSAN ONLINE