JELI: Kerajaan Malaysia dan Thailand disaran duduk semeja bagi mencari jalan penyelesaian mengenai isu ketirisan minyak masak peket subsidi dari negara ini yang menjadi barangan utama dalam kegiatan penyeludupan.
Timbalan Gabenor Narathiwat, Patimoh Sadiyamu berkata, pihaknya mengadakan pemantauan secara menyeluruh berhubung isu terbabit, namun, campur tangan melibatkan kedua-dua belah perlu dalam mengekang kegiatan penyeludupan.
Menurutnya, mengikut polisi kerajaan Thailand, pihaknya sentiasa memantau kegiatan penyeludupan dan mengingatkan rakyat negara tersebut supaya tidak melakukan kegiatan penyeludupan yang sememangnya menyalahi undang-undang.
“Ketika ini, bukan sahaja melibatkan minyak masak peket Malaysia diseludup ke Thailand, malah penyeludup turut membawa keluar beras Siam ke negara ini secara haram.
“Sehubungan itu, kerajaan kedua-dua negara perlu tegas menangani isu penyeludupan dengan memperketatkan polisi sedia ada bagi memberi amaran kepada orang ramai bahawa kegiatan tersebut menyalahi undang-undang,” katanya selepas menyertai program Kayuhan Muhibah Malaysia-Thailand yang bermula di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Bunga di Tanah Merah ke di Masjid Sultan Muhammad 1 di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Patimoh berkata, hubungan dua hala antara Thailand dan Malaysia akan bertambah baik apabila pembinaan jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok siap sepenuhnya kelak.
Katanya, setakat ini, pembinaan jambatan itu telah dijalankan dan kita harap ia akan merancakkan ekonomi dua hala selepas dua tahun berdepan pandemik Covid-19.
“Kita berharap kerjasama antara pihak Thailand dan Malaysia akan berterusan.
“Hubungan dua hala bertambah erat dengan pelbagai perancangan baharu yang dapat dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM210 juta pada November 2020 bagi membina jambatan kedua Rantau Panjang- Sungai Golok sepanjang 116 meter untuk mengatasi beberapa isu antaranya kesesakan aliran trafik keluar masuk di kedua-dua negara selain merancakkan pertumbuhan ekonomi. –UTUSAN ONLINE