ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan membina semula rumah asnaf fakir dan miskin yang terjejas akibat tragedi kepala air dan banjir lumpur di Kupang, Baling baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah, Majlis Tindakan Daerah dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi mengenal pasti mangsa terlibat untuk menerima bantuan itu.
“LZNK sedang meneliti dan mengenal pasti senarai nama mangsa banjir di Baling. Petang semalam, saya berhubung dengan Pegawai Daerah Baling bahawa kita akan bersama dalam memberi bantuan kepada mangsa bagi fasa pembinaan semula kehidupan mereka.
“Difahamkan ada rumah musnah sepenuhnya yang perlu dibangunkan semula, rumah yang hendak dibaiki dan rumah yang perkakasannya rosak. Jadi, ketiga-tiga kategori ini kita akan sediakan peruntukan sewajarnya setelah dapat penilaian sebenar daripada pihak terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas program Perasmian Agihan Daging Korban Kepada Asnaf Kedah di Kolej Agama Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Syeikh Zakaria, LZNK turut menerima sumbangan daripada banyak agensi untuk membantu mangsa banjir terlibat termasuk lembaga zakat negeri lain.
“Sehingga kini, kita sudah ada beberapa agensi yang hantar peruntukan terutama daripada agensi zakat negeri kepada mangsa banjir Baling melalui kita. Bila senarai penerima sudah muktamad kelak, kita akan tengok apa yang boleh dibuat, tetapi, kita akan tumpu kepada pembinaan rumah kerana itu dalam bidang kuasa kita.
“Kalaulah mereka fakir miskin memang tak ada masalah, kita akan bangunkan rumah mereka. Saya sudah bercakap dengan Menteri Besar tapak rumah sudah dikenal pasti di tanah milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di Kampung Sadek, Baling,” katanya.
Katanya, setakat ini, pihaknya dimaklumkan terdapat lebih 16 rumah milik mangsa yang mengalami kerosakan sepenuhnya dan memerlukan rumah baharu.
Dalam pada itu, menyentuh tentang program berkenaan, LZNK berjaya mencapai peningkatan melebihi dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya apabila 23 lembu dan 144 kilogram (kg) daging berjaya diagihkan kepada golongan asnaf pada tahun ini.
“Agihan daging ini memberi manfaat kepada 2,444 keluarga melibatkan 38 masjid dan dua sekolah zakat. Apabila kita memulakan program Asnaf Care ini pada 2019 hanya tiga ekor lembu disumbangkan, pada 2020 (lima lembu dan empat kambing) dan 2021 sebanyak 11 ekor lembu,” katanya. –UTUSAN ONLINE










