KUALA TERENGGANU: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali akan mengadakan pertemuan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berhubung tuntutan kenaikan gaji minimum RM1,800 dalam sektor kerajaan Isnin ini.
Beliau berkata, Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat akan membentangkan cadangan kenaikan gaji tersebut.
“Saya akan berbincang dengan Presiden Cuepacs (Adnan) Isnin ini untuk melihat, mengkaji dan meneliti permohonan dibuat,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Maal Hijrah peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Terdahulu, Mohd. Zuki yang merupakan anak jati Kampung Bayas di sini dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Terengganu.
Anugerah Tokoh Maal Hijrah itu dikurniakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berupa wang tunai RM20,000, plak, dan sijil penghargaan.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan Adnan berkata, cadangan gaji minimum penjawat awam dinaikkan daripada RM1,200 sebulan sekarang kepada RM1,800 sebulan berkuat kuasa tahun ini adalah relevan.
Menurut Adnan, cadangan tersebut berdasarkan keadaan ekonomi dan paras harga barangan semasa, sekali gus memberi kuasa membeli golongan itu bagi membiayai kehidupan harian.
Semalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah pula dilaporkan berkata, kerajaan tidak pernah membelakangkan kebajikan penjawat awam negara ini. –UTUSAN ONLINE