PUTRAJAYA: Perkhidmatan rel khas KLIA Ekspres dan KLIA Transit bakal ditambah jumlah kekerapan operasinya termasuk di luar waktu puncak bermula 1 Ogos ini.
Menurut Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) dalam laman sosialnya, pada waktu puncak, sebanyak enam perkhidmatan tren akan disediakan dalam masa sejam atau selang tempoh 10 minit.
“Di luar waktu berkenaan pula, kekerapan operasi tren ini bakal ditingkatkan kepada tiga perkhidmatan dalam setiap jam atau selang masa 20 minit,” jelasnya.
Sebelum ini, frekuensi rel khusus Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang itu ialah 15 minit ketika waktu puncak serta 30 minit di luar waktu puncak.
KLIA Ekspres dan KLIA Transit ujar kenyataan itu akan terus dikendalikan ERL sebagai perkhidmatan gabungan yang singgah di Bandar Tasik Selatan, Putrajaya dan Salak Tinggi.
Mula beroperasi pada 14 April 2002, perkhidmatan laluan berkembar itu menghubungkan terminal KLIA, KLIA2 serta Stesen KL Sentral di ibu negara dengan jarak jauh 57 kilometer.
Mengulas lanjut, ERL memaklumkan bahawa tempoh waktu puncak untuk operasi kedua-dua tren itu ialah dari pukul 7 pagi sehingga 9 pagi dan kemudian 5 petang sehingga 7 petang.
Dua tren itu akan bertolak secara serentak masing-masing dari KL Sentral dan KLIA2 untuk perkhidmatan pertama pukul 5 pagi manakala perkhidmatan terakhir pula 12 tengah malam.\
Perjalanan antara KL Sentral-KLIA ialah 35 minit, namun, untuk KLIA2 ialah 40 minit dengan semua kaunter tiket pula beroperasi dari pukul 6 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari.
“Bagaimanapun, tempoh selang perkhidmatan kedua-dua tren berkenaan pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum masih kekal lagi iaitu setiap 20 minit,” tambah kenyataan ERL tersebut.
Tiada perubahan dari segi tambang perkhidmatan dan para pelanggan digalakkan membeli tiket melalui aplikasi atau laman sesawang KLIA Ekspres untuk menikmati tawaran diskaun.
ERL ujarnya, menyasarkan dapat menyambung semula perkhidmatan sepenuhnya pada suku keempat tahun ini dengan operasi tren kembali seperti sebelum era pandemik Covid-19.
Untuk sebarang maklumat terkini, pelanggan boleh merujuk notis di stesen atau laman sosial KLIA Ekspres selain talian 03-22678000 dari Isnin hingga Jumaat (8.30 pagi hingga 6 petang). –UTUSAN ONLINE