Bayi 11 bulan tayang bakat luar biasa atas papan luncur

Bayi 11 bulan tayang bakat luar biasa atas papan luncur

AKSI comel Juanjuan bermain papan luncur di kawasan taman di Chengdu memukau ramai warganet yang melihatnya. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VIDEO tular bayi lelaki berusia 11 bulan beraksi santai di atas papan luncur bak pemain profesional memukau ribuan warganet yang melihatnya.

Ramai yang ‘geram’ menyaksikan gelagat comel Juanjuan meluncur laju dengan topi keselamatan dan lampinnya.

Walaupun belum pandai berjalan, Juanjuan sudah menunjukkan kemahiran luar biasa meluncur secara bebas sejauh beberapa ratus meter, menjadikan bayi lelaki dari Chengdu di wilayah Sichuan ini sensasi internet baharu di China.

Menurut bapanya, Liu Daolong yang juga bekas atlet papan salji kebangsaan China, Juanjuan diperkenalkan kepada sukan tersebut sejak usianya lima bulan.

Ketika itu, Daolong membawanya ke taman papan luncur tempatan buat pertama kali dan menurut ibunya, pengalaman itu sangat menyeronokkan.

Sejak boleh berdiri dengan bantuan pada usia enam bulan, Juanjuan mula berlatih mengimbangkan badan di atas papan salji di rumah.

Pada usia lapan bulan, dia sudah mampu berdiri di atas papan tersebut selama lebih seminit, satu pencapaian luar biasa bagi bayi seusianya.

Melihat potensi itu, Daolong mula melatih Juanjuan menggunakan papan luncur.

Pada mulanya, latihan dilakukan di dalam rumah dan setelah Juanjuan berusia sembilan bulan, dia dibawa keluar untuk bermain papan luncur di kawasan perumahan mereka.

Kini, pada usia 11 bulan, Juanjuan mampu meluncur secara bebas di kawasan bandar yang sibuk, dengan bapanya sentiasa berlari di sisi menjaga keselamatannya.

Daolong juga sempat memberi panduan asas seperti mengalihkan berat badan ke kaki belakang, dan Juanjuan sering memberi respon pantas yang mengagumkan.

“Dia boleh menyeimbangkan badan dengan baik, kawal kelajuan dan meluncur di atas permukaan yang tidak rata tanpa masalah. Kadang-kadang dia ketawa sepanjang sesi, jelas sekali dia menyukainya,” kata ibunya.

Akaun media sosial Juanjuan yang dikendalikan ibunya, menunjukkan pelbagai video comel si kecil itu bermain papan luncur sambil memakai topi keselamatan dan lampin, dengan ramai warganet memberikan reaksi teruja dan lucu.

“Bayi tak sepatutnya terlalu pandai meluncur seperti itu. Ia mencalar ego kami sebagai golongan dewasa,” gurau seorang warganet.

Menurut Daolong, walaupun masih belum mampu berjalan, Juanjuan sangat aktif dan gemar bergerak setiap kali terjaga.

Malah, anaknya itu kini boleh bergayut di pemanjat bayi selama 30 saat tanpa jatuh, satu lagi bukti kecergasannya yang luar biasa pada usia muda dan membuat ramai warganet makin teruja ingin bertemu dengannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN