Imskill lahir belia berkemahiran jana pendapatan - Utusan Malaysia

Imskill lahir belia berkemahiran jana pendapatan

MOHD. Hairi Md. Shah (tengah) bersama-sama para peserta program IMSKILL kemahiran menggunting rambut dan pembuatan pastri yang baru tamat latihan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Program Iskandar Malaysia Business Upskilling for Youth (Imskill) akan diperluas bagi melahirkan lebih ramai golongan belia yang berkemahiran untuk menjana pendapatan di negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, inisiatif itu amat bertepatan dengan teras jaringan keselamatan sosial, salah satu daripada enam teras dalam amanat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.  

Beliau berkata, program tersebut memberi nilai tambah terhadap pembangunan sumber manusia dan peningkatan pendapatan. 

“Ini adalah satu agenda yang amat penting bukan sahaja untuk menangani kesan pandemik Covid-19, malah, untuk terus mengekalkan taraf kehidupan dan menghadapi saingan ekonomi yang semakin mencabar.

“Saya melihat program ini amat bertepatan dengan teras jaringan keselamatan sosial dan penganjuran program Imskill 2.0 dapat memberi manfaat kepada lebih ramai belia di Iskandar Malaysia,” katanya pada Majlis Penutupan Imskill, di sini hari ini.

Seramai 112 belia menamatkan latihan dan menerima sijil kemahiran teknikal dan amalan terbaik perniagaan menerusi program Imskill yang dianjurkan baru-baru ini.

Lima bengkel latihan itu merangkumi kemahiran membuat pastri, menggunting rambut, penjenamaan dan pemasaran menerusi telefon pintar, digitalisasi serta kemahiran untuk merancakkan dan mempelbagaikan produk dan perniagaan.

Program ini dibiayai menerusi dana Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurut Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim, program sosioekonomi seperti itu sudah lama dilaksanakan di Iskandar Malaysia untuk memastikan upaya kemahiran rakyat dibangunkan sejajar dengan perkembangan dan kemajuan di wilayah tersebut.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 mendorong pihak IRDA untuk memperhebatkan lagi inisiatif sosioekonomi berkenaan sebagai langkah pemulihan ekonomi tempatan.

“Bentuk kemahiran yang ditawarkan di bawah program Imskill serta program-program lain yang berbentuk pemberian geran serta pembangunan kemahiran dan kapasiti dilaksanakan berdasarkan keperluan rakyat dan pasaran tempatan. 

“Pelaburan yang beroperasi di Iskandar Malaysia juga menyumbang bagi penyediaan pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat di wilayah ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN