Guna kad elektronik laksana subsidi bersasar - Utusan Malaysia

Guna kad elektronik laksana subsidi bersasar

Penggunaan kad subsidi elektronik boleh membantu menjayakan matlamat pelaksanaan subsidi bersasar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan kad subsidi elektronik bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar betul-betul sampai dan memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

Bagi mendepani era teknologi masa kini, penggunaan kad subsidi elektronik itu sebagai langkah ke hadapan untuk membantu golongan B40 ketika kos sara hidup semakin meningkat.

Bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan pelaksanaannya dibuat dengan menggunakan sistem canggih bagi mengelak ketirisan selain meningkatkan penguatkuasaan bagi mengelak kad berkenaan disalahguna.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridz­wan Shah Mohd. Dali berkata, kerajaan tidak berdepan masalah untuk melaksanakannya kerana sudah mempunyai pangkalan data golongan B40.

“Pelaksanaan program subsidi bersasar dengan mengeluarkan kad subsidi elektronik kepada golongan B40 adalah jalan terbaik ketika ini, ia jauh lebih baik berbanding sistem kupon atau baucar yang lebih senang dimanipulasi.

“Kerajaan boleh mengkreditkan subsidi bulanan minimum tetap ke dalam kad subsidi elektronik seseorang yang boleh digunakan untuk membeli petrol, minyak masak, gas memasak dan apa sahaja yang kerajaan putuskan bagi memberi subsidi.

“Namun sekiranya ia dilaksanakan, kerajaan boleh hentikan pemberian bantuan wang ringgit kerana kad berkenaan telah meliputi segala bantuan yang ingin disampaikan oleh kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini memaklumkan kerajaan akan meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan subsidi bersasar namun tidak akan menindas golongan berpendapatan kecil.

Perdana Menteri berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan subsidi bersasar tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan, termasuk pemberian subsidi terhadap minyak masak peket.

Mengulas lanjut, Nuradli Ridz­wan Shah berkata, kerajaan juga perlu memastikan liputan penggunaannya adalah menyeluruh bagi mengelak golongan sasar berdepan masalah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN