PETALING JAYA: Pihak pembelaan yang mewakili pengacara popular, Awal Ashaari bercadang mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan pertuduhan merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara, yang dihadapinya.
Peguam Hamizah Sobree yang mewakili pelakon itu memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini, pembelaan terlebih dahulu perlu meneliti dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan sebelum menghantar representasi.
Ketika ditanya wakil media di luar mahkamah sama ada pembelaan akan memohon agar pertuduhan digugurkan, Hamizah berkata, perkara itu tertakluk kepada keseluruhan dokumen yang akan diterima kelak.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Ab. Manaff berkata, pihaknya sudah menyerahkan beberapa dokumen berkaitan pertuduhan kepada mahkamah dan sedang menunggu laporan forensik untuk disiapkan.
Majistret Muhammad Iskandar Zainol kemudian menetapkan 25 Ogos untuk satu lagi tarikh sebutan bagi penelitian dokumen.
Mahkamah memaklumkan, pihak pembelaan boleh menghantar representasi jika kesemua dokumen telah diterima.
Pada 17 Mei lalu, pelakon dan pengacara popular itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara, April lalu.
Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, selebriti itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan Challis Damansara dengan kerugian sebanyak RM600 di pondok pengawal perumahan itu sini di Jalan PJU 3/30 pukul 11.30 pagi pada 16 April lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Awal dibebaskan dengan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin. –UTUSAN ONLINE










