fbpx

57 peratus keluasan hutan Pahang sesuai untuk pembiakan Harimau Malaya

TENGKU HASSANAL IBRAHIM ALAM SHAH

KUANTAN: Pahang mempunyai kira-kira 57 peratus keluasan hutan yang sesuai sebagai lokasi pembiakan Harimau Malaya berikutan jauh daripada penempatan manusia.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al -Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah, susulan itu, negeri ini menubuhkan Jawatankuasa Hidupan Liar Pahang di bawah Majlis Biodiversiti Negeri bagi tujuan pemuliharaan haiwan terbabit.

Titah baginda, usaha demikian bagi menyediakan habitat yang sesuai untuk pembiakan sekali gus memulihara spesies Harimau Malaya di negara ini. 

“Jawatan kuasa yang dibuat itu akan mengetuai usaha bersepadu untuk memerangi pemburuan haram di dalam negeri. Unit Renjer Hidupan Liar Pahang juga dibentuk untuk menggerakkan operasi tersebut. 

“Melalui kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ juga membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu ini. Inisiatif ini selari dengan usaha Pasukan Petugas Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (MyTTF),” titah baginda dalam kenyataan di sini hari ini. 

Baginda bertitah demikian bersempena Hari Harimau Sedunia hari ini yang disambut setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat umum tentang spesies harimau yang semakin diancam kepupusan. 

Sambutan Hari Harimau Sedunia ini bermula pada 2010, apabila 13 negara yang mempunyai populasi harimau berkeliaran bergabung untuk meningkatkan populasi harimau dan Malaysia merupakan salah satu daripadanya. 

Nepal, India, Bhutan, China dan Rusia dilaporkan begitu giat dalam usaha pemuliharaan populasi harimau.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal bertitah, disebabkan pemburuan haram dan kemusnahan habitat, dianggarkan lebih kurang 150 ekor harimau Malaya di negara ini dan bilangannya semakin merosot setiap tahun. 

“Malaysia mempunyai undang-undang untuk melindungi hidupan liar dan kawasan hutan, namun, tanpa penguatkuasaan yang sewajarnya, undang-undang yang digubal ini tidak mempunyai sebarang makna serta tidak akan dapat mengekang sindiket pemburu haram antarabangsa. 

“Kita memerlukan agensi kerajaan yang bersikap tegas dalam melindungi hidupan liar dan habitatnya. 

“Peruntukan undang-undang untuk melindungi hutan simpan juga penting untuk manusia bagi membantu memulihara sumber tadahan air serta mengurangkan implikasi banjir kepada petempatan manusia,” titah baginda. 

Sementara itu, titah baginda, usaha dan keberkesanan dalam memerangi aktiviti pemburuan dan perdagangan haram akan gagal jika tidak seiring dengan penekanan yang sama terhadap perlindungan hutan.

Justeru, baginda berharap kerajaan Pahang dapat meningkatkan keluasan kawasan hutan setiap tahun.

“Populasi harimau di Asia Tenggara masih mengalami kemerosotan, malah, Harimau Malaya disenaraikan dalam kategori sangat terancam di bawah Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

“Sekiranya kita dapat bekerjasama untuk memastikan kesinambungan populasi Harimau Malaya ini, ia bukan sahaja akan bertambah, malah, kita sebenarnya juga berjaya melindungi hutan yang banyak menyimpan khazanah biodiversiti dan fungsi ekosistem yang penting, lebih-lebih lagi di negeri ini. 

“Justeru, semua pihak harus komited dan bersungguh- sungguh untuk menyelamatkan spesies kebanggaan negara ini,” titah baginda. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!