BUTTERWORTH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang menerima sebanyak 364 aduan berhubung aktiviti pembakaran terbuka sepanjang tahun ini setakat 20 Julai lalu.
Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pembakaran sampah-sarap mencatatkan rekod tertinggi dengan 123 kes yang kebanyakannya membabitkan kawasan taman perumahan diikuti kawasan kebun kecil, belukar dan tapak pelupusan sampah haram.
Dalam tempoh sama juga jelas beliau, sebanyak 28 kompaun berjumlah RM56,000 dikeluarkan mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi kesalahan tersebut.
Sehubungan itu, tegas beliau, pihaknya akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan aktiviti pembakaran terbuka bagi menangani pencemaran udara di negeri ini.
“Kita amat mengharapkan penduduk taman perumahan khususnya supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka kerana asap dan bau akan mengganggu jiran-jiran lain.
“Jangan bakar sampah atau tayar, sebaliknya uruslah sampah dengan lebih berhemah seperti pengasingan buangan dan kitar semula,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Taklimat Larangan Pembakaran Terbuka di Wisma Persekutuan di Kepala Batas, semalam.
Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan Kempen Pengumpulan Barangan Elektrik dan Elektronik Isi Rumah bagi menggalakkan orang awam membuang peralatan elektrik dengan betul sekali gus mengurangkan risiko ancaman kesihatan dan pencemaran alam sekitar.
Sementara itu, Sharifah Zakiah berkata, peningkatan aduan berhubung pembakaran terbuka membuktikan masyarakat semakin cakna dengan persekitaran setempat.
“Orang awam semakin peka dengan situasi sekeliling dan paling penting kini, aduan dapat disalurkan lebih mudah menerusi imbasan kod QR yang akan dilancarkan 16 September depan,” katanya. –UTUSAN ONLINE