KEMAMAN: Kedatangan Hari Raya Aidiladha yang disambut umat Islam hari ini, memberi limpahan rezeki kepada 15 peniaga lemang di Kijal, di sini.
Tinjauan di sekitar gerai jualan lemang di sini mendapati peniaga tidak menang tangan menyiapkan lemang yang dijual secara terus dan menerusi tempahan sejak semalam.
Seorang peniaga, Khazalina Khalid, 45, berkata, sambutan luar biasa di gerai lemangnya menyebabkan dia terpaksa menolak tempahan yang banyak berikutan bimbang tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan.
“Alhamdulillah, memang tak menang tangan jual lemang kali ini, saya hanya mampu menyiapkan kira-kira 1,500 batang sehari dan selebihnya, saya terpaksa tolak tempahan.
“Saya juga terpaksa menambah bilangan pekerja daripada tiga orang pada hari biasa kepada 10 pekerja dan membakar lemang di dapur lain kerana dapur sedia ada tidak mampu menampung jumlah lemang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Khazalina berkata, dia turut melanjutkan operasi kedainya sehingga ke awal pagi raya berbanding hari biasa yang hanya beroperasi sehingga pukul 5 petang.
Seorang lagi peniaga, Zubaidah Ismail, 52, berkata, dia terpaksa membuka gerainya seawal pukul 6 pagi sejak semalam untuk menyiapkan tempahan pelanggan.
“Alhamdulillah, sambutannya sangat menggalakkan. Saya siapkan jualan sehingga 600 batang sehari untuk dua hari ini, berbanding hari biasa hanya 80 hingga 100 batang lemang,” katanya.
Zubaidah berkata, dia menjual lemang pada bermula RM5 untuk sebatang lemang hingga RM8, bergantung kepada saiz buluh.
Sementara itu, seorang pembeli, Hanafi Azman, 34, berkata, dia yang tinggal di Bandar Kuantan, Pahang sanggup memandu lebih 40 kilometer ke Kijal semata-mata untuk membeli lemang.
“Setiap kali musim perayaan, memang saya akan ke sini untuk membeli lemang kerana lemang di sini rata-ratanya memang enak rasanya.
“Harga lemang yang dijual juga berpatutan, memang berbaloi saya datang jauh-jauh,” katanya. –UTUSAN ONLINE










