PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus komited membantu usahawan-usahawan mikro yang terjejas akibat pandemik Covid-19 terutama golongan B40 menerusi pengeluaran permit sementara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Datuk Bandarnya, Mohamad Azhan Md. Amir berkata, terdapat dua kaedah pemberian permit dilaksanakan pihak MBPJ iaitu melalui penyusunan dan penempatan peniaga melibatkan 217 permit serta pemberian secara in-situ melibatkan 21 permit di tujuh lokasi di sekitar Petaling Jaya.
“Bancian semula permit-permit ini dijalankan mulai 11 hingga 31 Mei tahun ini dan hasil bancian mendapati 47 peratus peniaga masih aktif menjalankan perniagaan. Manakala, selebihnya tidak meneruskan perniagaan berikutan pembukaan semula semua sektor ekonomi.
“Justeru, MBPJ bertanggungjawab melesenkan peniaga-peniaga itu dengan pemberian permit sementara bagi membantu menjana pendapatan,” katanya ketika merasmikan Program Meransang Ekonomi Mensejahtera Komuniti Petaling Jaya di Laman MBPJ, semalam.
Hadir sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian; Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dan Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Sharipah Marhaini Syed Ali.
Menurut Mohamad Azhan, di bawah program pembangunan usahawan itu, MBPJ turut menjalankan kursus asas kepada usahawan-usahawan mikro melalui tiga tahap.
Katanya, kursus tahap pertama dijalankan sebanyak empat kali yang mana penerangan asas berkaitan usahawan digital dan penerangan produk daripada kerajaan negeri Selangor disampaikan oleh Selangor Digital E-Supply Chain (SELDEC) serta Yayasan Hijrah Selangor.
“Selain itu, kursus tahap kedua yang diadakan pada 23 Mac lalu melibatkan pengurusan media sosial dan pengurusan data pelanggan yang mana peserta diberi pendedahan secara latihan praktikal.
“Seterusnya, kursus tahap ketiga yang diadakan pada Mei lalu telah dijalankan oleh rakan strategik, Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) yang mana peserta berkelayakan dihantar ke INSKEN untuk digilap dan dipantau perkembangan perniagaan mereka,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE










