Tubuh Jawatankuasa Konsultasi bincang pantau kuasa Pusat-Negeri - Utusan Malaysia

Tubuh Jawatankuasa Konsultasi bincang pantau kuasa Pusat-Negeri

Pandak Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU:  Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mencadangkan supaya sebuah Jawatankuasa Konsultasi diwujudkan antara kerajaan Persekutuan dan negeri bagi membincangkan perkara-perkara yang melibatkan bidang kuasa antara kedua-dua pihak.

ADUN Kota Iskandar, Pandak Ahmad berkata, jawatan kuasa itu boleh menjadi platform perbincangan mengenai semua aspek berkaitan kuasa dan tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan negeri supaya dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar.

“Ahli jawatan kuasa ini juga boleh bertindak sebagai pemantau dan mengingatkan kedua-dua pihak untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing supaya tidak terlepas pandang.

“Usaha ini boleh mengelakkan supaya tidak berlaku pengabaian atau penganaktirian dalam melaksanakan tanggungjawab dan kuasa seperti yang dibangkitkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam titah baginda baru-baru ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Menurutnya, perkara tersebut turut dibangkitkan beliau dalam perbahasan menjunjung kasih titah ucapan Sultan Ibrahim pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini.

Khamis lalu, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda berasa sedih dengan tindakan Persekutuan yang tidak menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap infrastruktur-infrastruktur awam yang terdapat di negeri ini.

Mengulas lanjut, Pandak memberitahu, antara perkara yang memerlukan perhatian kerajaan Persekutuan bagi kawasan Kota Iskandar ialah hospital kerajaan yang lebih baik bagi memenuhi keperluan kesihatan warganya.

Katanya, Pusat Kesihatan Kecil Gelang Patah yang wujud sejak tahun 50-an sudah tidak dapat menampung keperluan orang ramai dengan kemudahan dan kawasan yang sangat terhad dan terbatas serta kemudahan bilik rawatan tidak mencukupi serta sempit.

“Adalah amat mendukacitakan kerana Kota Iskandar (pusat pentadbiran kerajaan Negeri) tidak mempunyai hospital kerajaan. Justeru, saya berharap perkara ini dapat diangkat kepada Kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan sewajarnya dan pembinaannya dimasukkan dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).”Sudah tiba masanya Kota Iskandar memiliki sebuah hospital kerajaan seperti Hospital Putrajaya yang dibina di pusat pentadbiran negara,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya