KUALA TERENGGANU: Seramai 321 pelajar atau 1.93 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran.
Pengarah Pendidikan Terengganu, Abdul Muie Ngah, berkata, secara keseluruhan, seramai 16,627 pelajar menduduki SPM di 215 pusat peperiksaan bermula Mac sehingga Mei lalu.
Menurutnya, Gred Purata Negeri (GPN) pula mencatat mata lebih baik 4.72 berbanding Gred Purata Kebangsaan (GPK) iaitu 4.86.
“Pelajar yang menduduki peperiksaan SPM tahun lalu juga merupakan kumpulan pertama mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Sains (SMS) Kuala Terengganu di sini, hari ini.
Abdul Muie memberitahu, sebanyak lapan buah sekolah juga lulus semua matapelajaran iaitu peningkatan berbanding enam buah pada tahun lalu.
“Keputusan SPM 2021 akan dijadikan penanda aras bagi calon SPM 2022 yang diharap meraih keputusan lebih baik,” tambahnya. –UTUSAN ONLINE