PUTRAJAYA: Anggaran sekitar 160,000 lagi tambahan pemilih baharu yang didaftarkan secara automatik layak mengundi jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung pada Oktober ini.
Ia mengambil kira pewartaan daftar pemilih tambahan setiap bulan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah pada setiap 16 hari bulan selepas diperakukan sehari sebelumnya.
Jika melihat trend daftar pemilih tambahan setiap bulan sejak awal tahun ini, ia merekodkan purata sekitar 40,000 orang iaitu 36,408 orang (Januari); 38,004 orang (Februari); 40,543 orang (Mac) dan 40,201 orang (April) dan 38,798 (Mei).
Bagi jumlah pengundi sedia ada, menurut sumber SPR, sejumlah 21,090,980 pemilih terkini direkodkan sehingga April lalu meliputi pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik layak mengundi.
Daripada jumlah itu, seramai 5,873,916 pemilih sudah didaftarkan automatik melalui pewartaan Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Ia meliputi 5,718,760 warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas direkodkan sehingga 31 Disember 2021 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, manakala selebihnya adalah daftar pemilih tambahan mengikut bulan pada tahun ini sehingga April lalu.
Tentunya ia merupakan medan PRU yang agak mencabar dengan tambahan jumlah pengundi sebanyak 6,150,356 berbanding seramai 14,940,624 pemilih pada PRU-14 .
Baru-baru ini tular dalam media sosial berhubung tarikh pengundian PRU15 dijadualkan pada 8 Oktober tahun ini, manakala tarikh pembubaran Parlimen dijadualkan pada 1 September dan hari penamaan calon pada 25 September.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jufa semalam tidak menolak kemungkinan PRU15 diadakan lebih awal berbanding tempoh mandat Parlimen berakhir pada pertengahan tahun depan.
Sehubungan itu, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, semua jentera Barisan Nasional (BN) perlu sentiasa bersiap siaga menghadapi PRU15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai.
“Kita kena perlu sentiasa bersedia, pilihan raya paling lewat boleh diadakan Julai (tahun hadapan), lebih kurang setahun sahaja daripada sekarang, setahun tidak lama bagi parti politik, untuk mengadakan pilihan raya.
“Jadi kena bersedia, itu kalau paling lewat setahun tetapi pilihan raya mungkin lebih awal dari tarikh akhir penggal,” kata Ismail Sabri. –UTUSAN ONLINE










