BENTONG: Penduduk berharap agar Kampung Janda Baik di sini dikekalkan dengan suasana sedia ada tanpa perlu sebarang pembangunan tambahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk, Husin Nordin, 70, berkata, sebagai anak jati kampung itu, bukan pembangunan yang perlu diutamakan, sebaliknya memikirkan cara bagaimana mengekalkan keadaan atau suasana sedia ada agar tidak musnah.
Mengimbau sejarah pembukaan Janda Baik, ayah Husin antara individu pertama yang membuka kampung tersebut sekitar banjir besar pada 1922.
“Asalnya Kampung Janda Baik berada di Pulau Santap, namun disebabkan banjir besar, ayah minta dibuka kawasan lain untuk pertanian dan kini sudah mula dipenuhi dengan penempatan penduduk.
“Dahulu ketika zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Janda Baik pernah diusulkan untuk dibangunkan seperti Putrajaya, namun ia dibatalkan atas desakan penduduk yang tidak bersetuju.
“Kini ada pula yang memberitahu hendak membangunkan Kampung Janda Baik sehingga menjejaskan persekitaran termasuk tanah yang diusahakan datuk moyang kita. Saya harap ia dibatalkan juga seperti sebelum ini,” katanya di sini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan kebimbangan pelancong dan pengusaha chalet di Janda Baik yang bimbang pembangunan projek mega atas nama ekopelancongan dikhuatiri bakal melenyapkan kawasan itu sebagai kampung tradisi Melayu dan mengancam alam sekitar di kawasan tersebut.
Selama ini, keaslian Janda Baik menjadi faktor tarikan kehadiran pelancong dalam dan luar negara ke lokasi terbabit, namun reputasi itu ‘tercalar’ apabila dua kali kawasan tersebut dilanda musibah kepala air dan banjir lumpur iaitu pada 18 Disember tahun lalu dan 11 Mei lalu.
Sejak musibah itu, kawasan Janda Baik yang sebelum ini meriah, menjadi ‘suram’ dan hilang serinya apabila air sungai yang dahulunya jernih sehinggakan boleh melihat ikan berenang dan susunan batu sungai di dasarnya kini menjadi keruh.
Mengulas lanjut, Husin berkata, sungai dan jalan sedia ada sudah memadai dan tidak perlu lagi dilebarkan bagi mengekalkan suasana Kampung Janda Baik sebagai kampung tradisional.
“Ini adalah penempatan orang Melayu dan masih ada lagi tempat lain yang mereka boleh bangunkan. Tapi mengapa hendak diganggu kawasan ini?” katanya.
Seorang lagi penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Kak Som, 47, berkata, pembangunan tambahan hanya akan memburukkan lagi keadaan Kampung Janda Baik yang sudah dua kali dilanda musibah banjir.
“Selama ini kami yang duduk dipinggiran sungai sudah biasa berhadapan dengan banjir, namun tidaklah seteruk banjir pada Disember 2021 dan Mei lalu.
“Sebelum ini banjir hanya paras kaki sahaja dan akan surut sejam kemudian. Dua banjir terbaru ini terlalu dahsyat sehingga memusnahkan harta benda penduduk membuktikan bahawa pembangunan tambahan sudah tidak lagi sesuai di kampung ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE