Pejuang tuntut SPRM siasat isu tanah Kampung Sungai Baru 

Pejuang tuntut SPRM siasat isu tanah Kampung Sungai Baru 

KHAIRUDDIN Abu Hassan (tengah) ketika hadir di SPRM mengenai isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kg Baru di pekarangan Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menuntut supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kontroversi di sebalik projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya yang mewakili penduduk di kampung itu mahu SPRM campur tangan segera terutama membabitkan tiga isu utama. 

Beliau berkata, isu pertama membabitkan proses warta tanah mengikut Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 yang didakwa dibuat dalam tempoh dua hari sahaja. 

TARIK BALIK

“Proses warta itu juga dibuat pada hari Sabtu dan Ahad serta diadakan dalam tempoh rakyat berada dalam kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Justeru, Pejuang mendesak Perdana Menteri dan Menteri Wilayah Persekutuan membuat keputusan segera supaya satu arahan dikeluarkan bagi memansuhkan atau menarik balik pewartaan pengambilan tanah itu. 

“Pemansuhan pewartaan pengambilan tanah itu akan membuka ruang rundingan antara penduduk dengan pemaju supaya ia lebih adil tanpa unsur tekanan, paksaan dan ugutan pengusiran,” katanya menerusi kenyataan dibacakan Ketua Pejuang Kuala Lumpur, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, hari ini. 

Khairuddin bersama lebih 50 penduduk Kampung Sungai Baru berhimpun di luar pekarangan Ibu Pejabat SPRM di sini bagi menyerahkan memorandum berhubung isu berkenaan kepada SPRM. 

Selain itu, Mukhriz berkata, pihaknya juga mahu SPRM menyiasat dakwaan kononnya Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), Datuk Affendi Zahari yang dipercayai telah diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Oktober 2021.

“Menteri Wilayah Persekutuan digesa menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan pantas melantik Pengerusi PKB baharu yang kompeten, berintegriti dan bebas dari pengaruh politik,” katanya. 

Pada masa sama, Mukhriz juga mahu SPRM menyiasat isu perbelanjaan dana lebih RM42 juta oleh pemaju berhubung proses pengambilan tanah berkenaan. 

Justeru, katanya, Pejuang menyeru supaya kontroversi pengambilan tanah dan pembangunan semula Kampung Sungai Baru ditangani segera kerajaan dengan berhemah tanpa unsur paksaan atau salah guna kuasa demi kebajikan dan kesejahteraan penduduk. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN