Orang Asli rayu naik taraf jalan perhubungan - Utusan Malaysia

Orang Asli rayu naik taraf jalan perhubungan

ALEK Busu (dua dari kiri) bersama wakil Orang Asli menunjukkan surat aduan masalah jalan rosak yang dihantar kepada pihak berwajib di Pos Balar, Gua Musang, Kelantan, hari ini. - AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli daripada suku kaum Temiar yang menetap di 13 buah kampung di Pos Balar di sini merayu kerajaan menaik taraf jalan perhubungan kampung mereka yang didakwa rosak lebih 50 tahun lalu sehingga menjejaskan aktiviti harian mereka.

Penghulu Kampung Perawas, Pos Balar, Alek Busu, 60, berkata, sudah lama mereka mengimpikan pembinaan jalan yang lebih selesa untuk melakukan urusan di bandar Gua Musang termasuklah ke hospital dan sekolah.

“Jalan amat pentinglah kerana inilah laluan keluar masuk kami setiap hari untuk hantar pesakit dan pelajar sekolah.

“Apabila kami buat aduan pihak berkuasa tak ambil endah. Guru yang nak masuk mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar pun berdepan masalah apabila motosikal dan kereta sering terbalik,” katanya.

Penghulu Kampung Manjun, Aja Along, 69, pula mendakwa sebelum ini mereka dijanjikan dengan Projek Pembangunan Bersepadu di kawasan perkampungan Orang Asli Gua Musang termasuklah pembinaan jalan.

Katanya, namun setakat ini mereka tidak tahu mengenai status serta perkembangan projek berkenaan.

“Baru-baru ini ketika musim tengkujuh, pelajar dari Pos Balar bertolak pada pukul 3 petang untuk ke asrama, pukul 5 pagi baharu sampai di bandar Gua Musang disebabkan jalan rosak.

“Kami sebagai ibu bapa bimbang dengan keselamatan anak dan berharap agar projek naik taraf jalan yang dijanjikan sebelum ini dipercepatkan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang bapa dari Pos Balar, Kamal Alek pula berkata, selaku ibu bapa mereka amat risau mengenai keselamatan anak-anak.

Katanya, sebelum ini sudah banyak kali penduduk mengemukakan aduan kepada pihak berwajib mengenai masalah tersebut.

“Pada Mac lalu kami sekali lagi menghantar surat aduan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) supaya mengambil tindakan segera menaik taraf jalan kampung Orang Asli yang amat teruk sehingga mengancam keselamatan.

“Selain Pos Balar, pos penempatan yang masih menggunakan jalan balak ialah Pos Belatim, Pos Hau, Pos Bihai, Pos Gob, Pos Simpor, Pos Pasik dan Pos Tohoi,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya