IPOH: Sebuah lori membawa dahan kayu terbabas di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Kangsar, Tasek di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian berlaku pada pukul 5.15 petang ketika kenderaan tersebut dari Kuarters Institusi Pendidikan Kampung Tasek Damai, Kampung Tawas menuju Pengkalan 2 di sini untuk hantar muatan kayu.
Menurutnya, semasa sedang belok ke kanan, tayar belakang kiri lori tiba-tiba pecah menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan dan terbalik di lorong paling kiri.
“Dalam kejadian tersebut, pemandunya yang berusia 37 tahun tidak mengalami kecederaan.
“Keadaan lalu lintas berjalan lancar dengan dikawal selia oleh anggota trafik bertugas.
“Operasi mengalihkan lori yang terbabas tamat pada jam 7.30 malam dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan mendapati kejadian itu menyebabkan kesesakan trafik dari arah Klebang menuju pusat bandar, namun keadaan berjaya dikawal oleh anggota polis.
Dua kren digunakan untuk mengalihkan kenderaan tersebut sebelum trafik kembali lancar. – UTUSAN











