Lebih 30 petugas media diraikan sempena sambutan Hawana peringkat Perlis - Utusan Malaysia

Lebih 30 petugas media diraikan sempena sambutan Hawana peringkat Perlis

AZLAN Man (lima dari kanan) bersama pengamal media Perlis sempena sambutan Hawana peringkat negeri Perlis di Norsalela Empire, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) peringkat Perlis yang dianjurkan Persatuan Wartawan Perlis (PWP) diraikan dalam suasana penuh meriah dengan kehadiran lebih 30 pengamal media negeri ini.

Majlis yang berlangsung di Norsalela Empire di sini itu diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang turut merasmikan program yang julung kali diadakan itu.

Hadir sama, barisan Exco kerajaan negeri, wakil-wakil agensi negeri ini dan pemimpin pelbagai parti politik di Perlis.

Turut hadir, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin; pemangku Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Harlina Samson dan wakil Sekretariat Hawana Nasional, Mariati Mohd Arif.

Pada majlis tersebut, Azlan turut menyampaikan  anugerah tokoh wartawan negeri ini kepada bekas Ketua Biro Bernama Perlis, Allahyarham Adnan Jahaya yang diwakili oleh isterinya, Hasnah Hashim.

Azlan ketika ditemui pemberita berharap agar pengamal media di negeri ini dapat mengekalkan profesionalisme dalam menyampaikan laporan berfaedah kepada masyarakat.

Katanya, secara umumnya wartawan yang ditempatkan di negeri ini telah menjalankan tugas secara profesional.

“Saya berharap semangat ini diteruskan supaya negeri ini akan mendapat faedah daripada peranan dimainkan pengamal media di Perlis.

“Sukar untuk kita menapis berita-berita tersiar di media-media sosial namun kita perlu bezakan daripada segi kualiti dan nilai berita tersebut.

“Penyebaran berita tidak sah akan memberi masalah kepada masyarakat dan memberi kesan negatif sekiranya disebarkan,” katanya.

Dalam pada itu, salah satu aktiviti sempena Hawana peringkat di negeri ini adalah forum khas bertajuk amanah menyampaikan berita yang akan diadakan di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kuala Perlis malam ini.

Manakala keesokan harinya pula akan berlangsung program kayuhan MAIPs peduli bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Padang Besar, Thailand.

Turut berlangsung majlis menandatangani memorandum persefahaman (Mou) antara PWP dengan Press Association Of Southern Thailand di pekan Padang Besar, Thailand. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN